X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk harap mampu nikmati hasil REE

Ismail menunjukkan Hutan Simpan Bukit Enggang yang dikatakan mengandungi REE.
A
A

SIK - Penerokaan mineral 'rare earth elements' (REE) dianggarkan bernilai RM62 bilion membabitkan beberapa kawasan di Kedah termasuk di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini diharap membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

Ketua Kampung Charuk Kit, Ismail Abdul, 65, berkata, pihaknya mengharapkan dengan penemuan mineral bernilai tinggi itu mampu memberi manfaat kepada rakyat yang kebanyakan hanya menoreh getah dan bekerja kampung.

Berpengalaman kira-kira 30 tahun sebagai ketua kampung, Ismail yang juga Ketua Peserta Felcra Sungai Senam Satu berkata, kajian mengenai REE telah lama wujud, namun kawasan yang hanya berjarak sekitar satu atau dua kilometer dari rumahnya itu masih belum diteroka oleh mana-mana pihak setakat ini.

Ismail menunjukkan Hutan Simpan Bukit Enggang yang dikatakan mengandungi REE.
Ismail menunjukkan Hutan Simpan Bukit Enggang yang dikatakan mengandungi REE.

"Kajian tentang REE yang diperlukan dalam pembuatan komponen barangan digital telah dilakukan beberapa tahun sebelum ini, namun sehingga kini belum dimajukan.

"Saya dimaklumkan tempat ini menjadi lokasi kajian beberapa pakar dari Jepun dan Korea untuk mendapatkan sampel mineral sebelum diumumkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini bahawa ia sesuai untuk diekstrak.

"Kami berharap sangat sekiranya dilaksanakan ia mampu memberi pulangan kepada rakyat Sik yang dahagakan pembangunan," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Ketika ditanya mengenai bantahan yang datangnya dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap penerokaan terbabit, beliau berkata, ia adalah perkara biasa sebelum pelaksanaan sesuatu projek baharu.

"Saya difahamkan REE tidak bersifat radioaktif. Penerokaan juga tidak dilaksanakan secara lombong atau gali sebaliknya akan diekstrak menggunakan teknologi perpaipan di mana campuran yang mengandungi REE akan disedut sebelum dialirkan ke satu tempat melalui paip dan ditapis untuk diasingkan," jelasnya.

Menurutnya, beliau juga bersetuju sekiranya kaedah berkenaan tidak menjejaskan sumber sedia ada.

Selama ini, katanya, Hutan Simpan Bukit Enggang dijadikan lokasi peranginan berikutan keindahan air terjun selain tumpuan peminat sukan lasak melakukan pendakian.

Ismail mengharapkan agar hasrat Kedah meneroka REE diteruskan sebagai salah satu sumber pendapatan baharu, sekaligus 'kekayaan' itu dapat dinikmati penduduk tempatan.

Sementara itu, Ketua Kampung Charuk Kudung, Izwan Hadi Matzuki berkata, rata-rata penduduk teruja apabila mengetahui mengenai REE yang wujud di kampung mereka, malah bersedia menerima pembaharuan dari segi pembangunan sekitar yang ternyata mampu meningkatkan taraf hidup.

IZWAN HADI
IZWAN HADI

"Kami sudah lama dahagakan pembangunan di Sik. Dengan adanya penerokaan REE di kampung kami, diharapkan ia dapat memberi keutamaan kepada penduduk setempat terlebih dahulu.

"Sekiranya ada peluang pekerjaan, seboleh-bolehnya penduduk kampung nak juga terlibat. Kami juga sudah lama menanti-nantikan pembangunan kerana kebanyakan penduduk hanya menoreh getah, sementara anak muda telah keluar dari kampung mencari pekerjaan di luar daerah," katanya.

Bukit Enggang di Sik merupakan kawasan peranginan menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk berkelah dan mandi air terjun.
Bukit Enggang di Sik merupakan kawasan peranginan menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk berkelah dan mandi air terjun.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa mineral dikenali REE ditemui di Sik dan Baling bernilai anggaran RM62 bilion bakal memberi pendapatan baharu Kedah.

Difahamkan, sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang bekerjasama dengan syarikat antarabangsa telah diluluskan bagi melaksanakan penerokaan terbabit.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!