PBT main peranan penting di Melaka

Adly Zahari
A
A

MELAKA - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memainkan peranan penting dalam memastikan kepesatan pembangunan dan kemajuan negeri mencapai tahap yang ditetapkan kerana mereka merupakan agensi barisan hadapan yang paling kerap berurusan dengan rakyat, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata, selain itu, empat PBT iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) juga berperanan membentuk dan menjaga imej kerajaan negeri ke arah yang positif.

"Tidak hairanlah jika majoriti rakyat beranggapan PBT sebenarnya kerajaan... Ada kebenarannya kerana apa yang berlaku setiap hari di kawasan PBT mempunyai impak terhadap kualiti hidup penduduk seperti jalan raya yang baik, sistem trafik yang berjalan lancar, lampu yang menyala, longkang dan parit yang bersih serta sampah dikutip.

"Justeru, PBT perlu memastikan segala urusan berkaitan dengan rakyat dipermudahkan dan sentiasa mengadakan rundingan bersama penduduk, peniaga, penjaja, pengilang dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memahami dan menyelesaikan masalah mereka kerana penyertaan mereka dalam setiap perancangan dasar dan program di PBT merupakan prasyarat kepada kejayaan dasar dan program kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka anjuran MPHTJ yang turut dihadiri Yang Dipertua MPHTJ Mahani Masban.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 5,585 aduan berkaitan PBT melibatkan pelbagai isu diterima Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka menerusi sistem aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas.

Katanya, aduan yang dibuat oleh rakyat perlu dilihat sebagai sesuatu tindakan yang positif serta perlu ditangani dengan sebaik mungkin agar keyakinan rakyat kepada kerajaan dapat terus dipulihkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Adly berkata, semua pegawai PBT negeri termasuk ahli majlis juga disaran lebih kerap turun padang untuk mendekati dan mendengar masalah rakyat di kawasan masing-masing selain tindakan berkenaan diharap dapat menyelesaikan masalah mereka dalam tempoh yang singkat.

"Pertemuan 'town hall' bersama penduduk juga hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa supaya maklumat, idea dan perancangan kemajuan yang dirancang PBT dapat dikongsi bersama mereka sekali gus ia menjadi sebagai platform penyelesaian isu dan masalah penduduk serta mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih efektif," katanya.

Sementara itu, beliau berkata MBMB berjaya mengekalkan status bandar mampan menerusi penilaian Sistem Malaysian Urban Rural National Indicator Network on Sustainable Development (MURNInets) 2017 dengan catatan markah 96 peratus diikuti MPHTJ (94 peratus), MPAG (93 peratus) dan MPJ (91 peratus).

Katanya, menerusi penilaian itu juga MBMB memperoleh tempat kedua bagi kategori bandar raya Anugerah Pencapaian Bandar Mampan 2017 dan pelaksanaan program MURNInets membolehkan setiap PBT mengukur dan menilai kemampanan sesebuah bandar dengan lebih berkesan. - Bernama