Covid-19: 1,012 kes baharu, empat kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,012 kes harian positif Covid-19 dan empat kes kematian berkaitan wabak itu seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 75,306 kes manakala jumlah kes kematian meningkat kepada 388 kes.

"Jumlah kes aktif pula 10,862 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Penularan dalam negara pula adalah 1,005 kes," katanya.

Beliau berkata, Selangor melaporkan jumlah kes harian tertinggi hari ini dengan 417 kes diikuti Sabah 271 kes dan Johor 108 kes.

"Sebanyak 44 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (24), Kluster Bakti (18) dan Kluster Penjara Seberang Perai (2)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kuala Lumpur merekodkan 98 kes, Pahang (33), Perak (29), Negeri Sembilan (23), Pulau Pinang (18) dan Kedah 10 kes.

Artikel Berkaitan:

"Sarawak dan Kelantan masing-masing mencatatkan dua kes dan satu kes dikesan di Putrajaya," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 126 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi termasuklah 62 yang memerlukan bantuan pernafasan.

Tambahnya, keempat-empat kes kematian direkodkan di tiga hospital di Sabah membabitkan pesakit wanita berusia 33 hingga 90 tahun.

"Tiga pesakit mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti buah pinggang, anemia dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, bilangan kes sembuh Covid-19 merekodkan 1,750 kes menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 64,056 kes bersamaan 85.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.