FAM hadiahkan jersi Harimau Malaya kepada TMJ

Hamidin (kanan) menyerahkan jersi kepada Tunku Ismail hari ini. - FOTO: FB FAM
Hamidin (kanan) menyerahkan jersi kepada Tunku Ismail hari ini. - FOTO: FB FAM
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan jersi baharu skuad Harimau Malaya kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.

Menurut catatan di Facebook rasmi FAM, ia sebagai tanda penghargaan kepada TMJ yang merupakan mantan presiden persatuan dengan baginda masih terus bersama memberikan sokongan terhadap bola sepak negara.

Hamidin dilihat menyampaikan jersi 'home' dan 'away' skuad Harimau Malaya yang tertera 'Johor 02' di bahagian belakang kepada pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Turut hadir ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dan Ketua Unit Pembangunan Belia FAM Datuk Ong Kim Swee.

''Pada kesempatan itu juga, Datuk Hamidin turut berbincang dan bertukar pandangan bersama Tunku Ismail mengenai persediaan dan persiapan pasukan kebangsaan bagi menyambung saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan, serta perjalanan saingan Liga Malaysia musim 2021,'' menurut FAM.

Jersi pasukan kebangsaan bagi tempoh 2020-2022 itu dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: