Pas perlu buat pilihan untuk teruskan Muafakat Nasional

AHMAD YAKOB, AKHBAR SALIM
AHMAD YAKOB, AKHBAR SALIM
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Kelantan meminta penjelasan daripada Pas susulan kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini yang menimbulkan persoalan mengenai masa depan gabungan politik tersebut.

Setiausaha UMNO Kelantan, Akhbar Salim berkata, UMNO Kelantan kurang jelas sama ada Pas masih ingin meneruskan Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya.

"Sekiranya Pas lebih cenderung untuk mengetepikan MN yang telah disepakati, UMNO Kelantan tidak menolak kemungkinan untuk meletak calon di semua kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ahmad didakwa berkata, usaha untuk mengekalkan perpaduan Melayu menerusi perjuangan politik ketika ini tidak boleh mengetepikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau juga berpendapat, gabungan lebih besar adalah lebih baik umpama satu bekas lidi iaitu semakin banyak, semakin kuat dan banyak kegunaannya.

Oleh sebab itu, Menteri Besar Kelantan itu berpandangan lebih banyak parti bersama adalah lebih baik dan bukan hanya terhad pada Pas dan UMNO sahaja.

Mengulas lanjut, Akhbar Salim berkata, UMNO akur dengan sebarang keputusan Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO termasuk keputusan berkaitan situasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan kedudukan situasi kerajaan Pusat kini.

"Kami juga komited dan istiqamah kepada piagam MN yang telah termeterai di peringkat kebangsaan bersama Pas dan bersetuju sebagai agenda penyatuan ummah," katanya.

Artikel Berkaitan: