X

Kindly register in order to view this article
!

Kes rasuah RM1 juta: Ku Nan dilepas tanpa dibebaskan

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kelihatan keluar dari bilik perbicaraan selepas mendengar sebutan kes rasuah satu juta, di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas tuduhan menerima rasuah RM1 juta pada 2013 lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membaca keputusan penghakimannya berkata, keputusan DNAA terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan, yang menyatakan bahawa mereka tidak mahu meneruskan kes di peringkat ini mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

“Setelah mendengar alasan dan keperluan mereka untuk menyiasat perkembangan itu, maka saya memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan meneruskan kes terhadap Tengku Adnan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah RM1 juta: Tengku Adnan mahu hakim tarik diri dengar kes

'RM2 juta memang untuk PRK, bukan kegunaan peribadi Ku Nan'

Ku Nan serah lebih RM1 juta untuk PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh memberi penjelasan secara terperinci namun ada perkembangan baharu berkaitan salah seorang saksi bagi kes ini.

Disebabkan itu Julia berkata, pihaknya memerlukan masa untuk menyiasat perkara berkenaan dan tidak mahu membuang masa mahkamah kerana tidak pasti berapa lama masa diperlukan untuk menyiasat kes tersebut.

“Tiada prejudis atau berniat jahat terhadap tertuduh maka atas alasan itu, kami memohon tertuduh tidak dibebaskan sementara siasatan mengenai perkembangan baharu itu diselesaikan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan membantah perkara itu dan memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada pendakwaan tersebut.

“Anak guam saya dituduh atas dakwaan itu sejak 2018 maka tidak adil jika permohonan pihak pendakwaan dibenarkan.

“Pihak pendakwaan tidak memberikan jangka waktu yang jelas berapa lama mereka perlu menyiasat perkembangan baharu ini," katanya.

Ahli Parlimen Putrajaya berusia 70 tahun itu menghadapi pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon yang mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan ahli politik itu dan didenda RM1.5 juta.

Wang tersebut telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd meningkatkan nisbah keluasan tanah untuk syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tengku Adnan juga menghadapi tuduhan pilihan dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima wang RM1 juta untuk dirinya daripada Tan melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau sedangkan beliau mengetahui bahawa Tan, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bermula pada 20 September 2019 dengan pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Tengku Adnan membuat permohonan untuk meminta Hakim Mohd Nazlan supaya tidak mendengar kes dengan alasan hakim telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes Tan.

Mohd Nazlan menolak permohonan Tengku Adnan yang mendorongnya untuk mengajukan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada Februari tahun ini memutuskan memilih Tengku Adnan dan memerintahkan perbicaraan itu didengar di hadapan hakim lain dengan alasan Mohd Nazlan mungkin berat sebelah.

Pada 17 Julai 2020, tiga hakim Mahkamah Persekutuan, membatalkan perintah Mahkamah Rayuan agar keengganan Mohd Nazlan untuk mendengar perbicaraan dan agar perbicaraan itu didengar di hadapan hakim lain.

Oleh itu, kes itu diserahkan semula di hadapan Mohd Nazlan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga didakwa telah menerima sejumlah RM2 juta dari seorang peniaga, Tan Sri Chai Kin Kong yang merupakan pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) dan perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan selesai dan mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk keputusan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!