KKM tiada maklumat isu pembekalan dos vaksin Pfizer

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin daripada syarikat farmaseutikal Pfizer sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kini masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat tersebut untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19.

Beliau berkata sedemikian bagi memberi maklum balas terhadap pertanyaan orang awam mengenai laporan yang dikeluarkan oleh agensi media antarabangsa Reuters pada 4 Disember 2020 bertajuk ‘Pfizer says supply chain challenges contributed to slashed target for Covid-19 vaccine doses in 2020’.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, KKM akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh syarikat berkenaan di samping mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat Malaysia: PM

Pemberian vaksin pneumokokal mulai bulan depan

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan sebelum sesuatu produk itu didaftarkan dan dipasarkan di Malaysia, ia perlu melalui proses penilaian dan pengujian yang berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan juga keberkesanan terlebih dahulu.

“NPRA juga akan memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari masa ke masa.