Loji merawat air masin bakal dibina di Pantai Gebeng

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan akan membina sebuah loji merawat air masin di Pantai Gebeng bagi mengatasi gangguan dan kekurangan bekalan air di kawasan perindustrian di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, teknologi loji tersebut yang buat pertama kali dibangunkan di negara ini dijadualkan dibina tidak lama lagi dan akan disiapkan menjelang 2021.

Menurutnya, kemudahan itu berikutan loji rawatan air sedia ada di Semambu tidak dapat lagi membekalkan bekalan air bersih di perindustrian Gebeng kerana kehendak domestik yang lebih memerlukan.

"Kita buat keputusan untuk membina loji ini kerana pemilik syarikat industri di Gebeng telah mengalami kerugian kira-kira RM70 milion disebabkan gangguan bekalan air.

"Jika perkara ini tidak diselesaikan, kawasan industri di Gebeng seperti Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) tidak akan membangun dan ekonomi tidak dapat berkembang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, teknologi ini telah banyak digunakan di negara Timur Tengah dan keputusan untuk membinanya diambil supaya permasalahan air tidak akan berlaku di kawasan perindustrian di Gebeng

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya telah mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri Pahang bagi meminta kebenaran membina loji tersebut di Pantai dan mencapai persetujuan membinanya demi kepentingan perkembangan industri di kawasan tersebut.

"Dengan kerjasama bersama sebuah syarikat konsultan loji rawatan air masin tersebut, kerajaan pusat dan negeri tidak perlu mengeluarkan sebarang peruntukan ke atas projek itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita berbangga kerana syarikat konsultan itu milik rakyat Malaysia yang mempunyai kepakaran yang meluas dalam membina loji tersebut," ujarnya.

Beliau menambah, segala kos pembinaan akan diuruskan oleh syarikat tersebut.

"Mereka hanya akan jual air kepada syarikat di kawasan industri di situ yang dianggarkan tarif air berjumlah RM 2.80 apabila projek ini disiapkan," katanya.