Perubahan dimensi mekanisme cegah jenayah

Mazlan (tiga, kiri) ketika pertemuan dengan Penegrusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (tengah), hari ini.
Mazlan (tiga, kiri) ketika pertemuan dengan Penegrusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (tengah), hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mekanisme dan pendekatan pencegahan jenayah yang dilaksanakan Kontinjen Polis Selangor dalam tempoh 40 tahun dilihat mengalami evolusi lebih dinamik dalam mengekang perkembangan jenayah masa kini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis sentiasa menilai pendekatan yang diambil secara konstruktif untuk terus menambak baik mekanisme pencegahan dari semasa ke semasa demi menjaga keharmonian masyarakat.

Mengimbau cabaran yang dihadapi anggota polis sekitar tahun 80-an, Mazlan menjelaskan ketika itu lebih tertumpu kepada jenayah fizikal serta ancaman komunis sebelum ia mengalami transisi tersendiri mengikut perubahan zaman.

“Perbezaan yang saya lihat, ketika tahun 80-an itu ancaman-ancamannya berbeza. Pendekatan kita tentulah berlainan berbanding sekarang ini. Sekitar 2006 pula, negara semakin maju terutama di Selangor ini pembangunannya memang pesat.

“Dari sudut perumahan contohnya, dalam konteks ini polis perlu menumpukan sudut pencegahan jenayah berbeza dengan cabaran dari segi kekurangan kekuatan anggota dan sebagainya, namun kita berjaya mengatasi masalah timbul pada masa itu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, cabarannya semakin berbeza sama ada di lapangan, kes-kes jenayah, dadah, masalah, trafik namun dimensi baharu sekarang ini dengan perkembangan media sosial berdepan dengan ancaman yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat dengan mudah.

“Apabila ini berlaku, secara tidak langsung akan menimbulkan isu-isu yang boleh menjejaskan keselamatan di dalam negeri, pun demikian saya kira kita masih mampu mengatasinya. Jenayah itu di mana saja tetap ada, tapi dalam keadaan terkawal,” katanya.

Mazlan yang memikul tugas sebagai Ketua Polis Selangor sejak 2017 lalu bakal menyerahkan tanggungjawab berkenaan satu majlis serah terima tugas yang dijadualkan berlangsung petang ini dan beliau menggalas tanggungjawab baharu di Bukit Aman berkuat kuasa 29 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengakui Selangor sebuah negeri yang istimewa baginya, Mazlan turut berkongsi harapan mahu melihat perjalanan harian dari sudut pencegahan jenayah dan pengurusan pentadbiran Kontinjen Polis Selangor untuk sentiasa dalam menanamkan pemikiran sedia berkhidmat.

“Selangor ini adalah satu negeri yang istimewa bagi saya oleh kerana sudah tiga kali saya keluar masuk Kontinjen Polis Selangor dari tahun 1982 hingga 1989, 2006 hingga 2008 dan kali ketiga ini sebagai Ketua Polis Selangor sejak 2017.

“Polis ini sebenarnya memikul tanggungjawab 24 jam, tidak boleh alpa tetapi kena sentiasa memantau perkembangan terkini. Cara berfikir kita itu kena berubah, kena berfikir untuk sedia berkhidmat.

“Maksudnya tidak boleh fikir jika tamat bertugas pukul empat, boleh balik dan berehat. Tetapi kena sentiasa bersedia dengan tanggungjawab kita. Saya kira sekarang ini kita berada di landasan yang betul (dari segi pemikiran sedia berkhidmat),” katanya.

Menurutnya, apa saja perubahan zaman khususnya dari sudut jenayah siber dan media sosial yang dengan cepat boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat, pihak polis perlu kekal sentiasa berwaspada dan mengambil pendekatan untuk menambah baik dari segi kemampuan anggota kita.

“Alhamdulillah, setakat ini dengan undang-undang yang ada dan juga logistik yang kita terima ini sesuatu yang membantu pendekatan kita untuk seiring dalam mengekang isu-isu yang boleh mencetuskan masalah dalam keharmonian rakyat khususnya di Selangor.

“Terima kasih juga kepada pihak media dan Sinar Harian khususnya kerana banyak membantu polis Selangor sepanjang saya berkhidmat di sini lebih kurang setahun setengah,” katanya.