30 pusat pengedaran dipercayai ada kaitan kartel

A
A
A

[LAPORAN KHAS] JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesyaki lebih 30 buah pusat pengedaran di negara ini mempunyai kaitan dengan sebuah gudang kartel daging sejuk beku yang digempur pihak berkuasa di Senai di sini Selasa lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dengan mengumpulkan maklumat berkaitan.

“Setakat ini lebih 30 pusat pengedaran dipercayai mempunyai kaitan dengan gudang di Senai itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

KPDNHEP siasat status halal daging

Gudang daging seludup dikawal elak diceroboh gengster

Gudang kartel proses daging babi

“Siasatan masih dijalankan dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Tegas Iskandar Halim, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan dan menjual daging yang menggunakan logo halal palsu.

Terdahulu, Menteri KPDNHEP, Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian memberitahu, beliau telah mengarahkan semua cawangan KPDNHEP di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan bersepadu dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) terhadap produk daging sejuk beku.

Beliau berkata, surat arahan berhubung perkara itu akan dikeluarkan susulan terbongkarnya taktik menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkusnya semula dengan logo halal.

Undang-undang berkaitan pengimportan masuk daging sejuk beku dikuatkuasakan oleh agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Vaterinar.