Bersatu bersama Pas, PN buat keputusan lanjut

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menzahirkan rasa kesal dengan perkembangan terbaharu politik Perak hari ini apabila kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan mesyuarat biro politik Bersatu yang diadakan petang tadi.

"Biro Politik Bersatu dalam mesyuaratnya petang ini menzahirkan rasa amat kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini.

"Bersatu ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak telah ditolak oleh UMNO dan PH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

"Sehubungan itu, Bersatu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, tiga ADUN Pas, satu ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas yang telah menyokong Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak.

"Bersatu akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama Pas dan teman-teman parti anggota PN yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Artikel Berkaitan:

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menerima usul berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti

MB Perak harap krisis tak berlarutan ke Pusat

Ahmad Faizal akan menghadap Sultan Perak