X

Kindly register in order to view this article
!

Inix beli 51 peratus kepentingan dalam L&S Gloves

(Dari kiri) Pengerusi Inix, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Naib Pengerusi Inix, Datuk Tan Choon Hwa dan Pengarah L&S Gloves, Teo Xiong Sheng, melawat kilang sarung tangan getah L&S Gloves di Beranang, Selangor semalam.
A
A

BERANANG - [DIKEMAS KINI] Inix Technologies Holding Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) untuk membeli 51 peratus kepentingan dalam kilang sarung tangan getah, L&S Gloves Sdn Bhd.

Ini adalah langkah terbaru Inix untuk menguasai industri sarung tangan getah di negara ini.

Pengerusi Inix, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Lembaga Pengarah Inix telah mengunjungi kilang sarung tangan L&S Gloves di Beranang dan selepas mengadakan rundingan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani MOA secara rasmi hari ini.

Sementara itu, Naib Pengerusi Inix, Datuk Tan Choon Hwa berkata, Inix telah berusaha secara aktif meninjau peluang untuk membangunkan perniagaan baharu dan mencipta nilai untuk syarikat dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Ini termasuk penyertaan kami ke dalam industri arung tangan getah. Syarikat telah membayar 45 peratus deposit untuk mengambilalih L&S Gloves.

"Kami percaya pengambilalihan ini akan memberi sumbangan positif kepada keuntungan masa depan kumpulan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Inix melaporkan kepada Bursa Malaysia hari ini bahawa L&S Gloves mempunyai dua kilang di Beranang yang sedang dalam pengeluaran.

Sementara itu Pengarah L&S Gloves, Teo Yoek Leong, berkata, pihaknya berbesar hati kerana akhirnya boleh mengembangkan perniagaan sarung tangan getahnya ke pasaran antarabangsa dan membantu dalam melawan pandemik Covid-19.

"Kami akan memastikan yang dua barisan pengeluaran ini akan dapat digerakkan serta merta. Kami merancang untuk mengembangkan pengeluaran sehingga 14 barisan dalam tempoh setahun ini.

"Jumlah pelaburan Inix ke dalam projek ini dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM50 juta," katanya.

Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam pula berkata, mereka percaya bahawa pemerolehan ini akan memberikan sumbangan positif kepada keuntungan masa depan kumpulan dan merupakan pilihan terbaik bagi Inix untuk memasuki produksi sarung tangan getah.

Pada 2 Disember, Inix mengumumkan pertukaran papan utama.

Syarikat itu melantik Mohamad Fuzi, bekas Ketua Polis Negara sebagai pengerusi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh jutawan Macau, Wan Kuok Koi yang telah meletakkan jawatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!