Beli barang lokal, bercutilah dalam negara

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ISU kejatuhan ringgit ketika ini menimbulkan kerisauan kepada orang ramai yang terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang susulan barangan import yang dijual dalam negara menjadi lebih mahal.

Ringgit yang meneruskan momentum lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini dijangka menyumbang kepada peningkatan inflasi berikutan inflasi import.

Inflasi import itu turut akan meningkatkan kos pengeluaran bagi barangan memerlukan input yang diimport sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna.

Justeru, sudah tiba masanya rakyat Malaysia beralih untuk membeli barangan keluaran tempatan berbanding barangan import bagi mengurangkan aliran tunai keluar negara selain membantu memulihkan ekonomi domestik.

Malah produk keluaran tempatan juga tidak kurang hebatnya apabila mempunyai kualiti lebih baik dan setanding dengan produk jenama antarabangsa.

Sebelum ini ramai yang menyangka jenama barangan elektrik seperti Pensonic dan Khind, produk mesin urut jenama Ogawa, jenama pakaian mewah British India dan jenama pakaian Padini selain beberapa jenama lain yang bernaung di bawah Padini seperti VINCCI, MIKI, SEED dan beberapa lagi merupakan jenama antarabangsa.

Namun sebenarnya jenama berkenaan merupakan jenama tempatan yang setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Jadi bukan suatu alasan bagi semua pihak menidakkan kualiti produk keluaran tempatan susulan ramai yang beranggapan produk keluaran tempatan tidak tahan lama, tidak bermutu tinggi selain tidak membawa imej mewah kepada pembeli.

Stigma dan persepsi sedemikian seharusnya dihentikan kerana hakikatnya banyak barangan tempatan dijamin kualiti malah harga yang ditawarkan pula berpatutan serta jauh lebih murah berbanding barang import.

Bagi menggalakkan usaha membeli barangan tempatan, kerajaan telah memperkenalkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Kempen yang telah bermula sejak 1984 dengan nama Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, kemudian dijenamakan semula dengan nama KBBM pada 2009 itu berjaya membantu mengubah persepsi rakyat yang dahulunya agak skeptikal dengan kualiti produk keluaran tempatan supaya mula yakin untuk membeli barangan buatan Malaysia.

Selain itu, kebergantungan Malaysia mengimport banyak produk luar terutama makanan membawa keadaan di mana kos bebanan tersebut ditanggung pengguna apabila perlu mengeluarkan lebih wang untuk membayar harga barangan berkenaan akibat kejatuhan nilai tukaran ringgit.

Dari segi pelancongan pula, kejatuhan ringgit memberi impak baik terhadap sektor pelancongan susulan Malaysia menjadi tumpuan pelancong luar memandangkan kos berbelanja menjadi lebih murah selain mendorong pelancong asing membelanjakan lebih banyak wang di negara ini.

Namun rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara perlu berfikir banyak kali sama ada mahu meneruskan percutian terutama negara yang menggunakan dolar AS dan kos sara hidup tinggi seperti United Kingdom serta Singapura.

Hal itu menyebabkan rakyat Malaysia lebih memilih destinasi tempatan untuk melancong selain tidak melepaskan peluang untuk menerokai tempat-tempat menarik yang ada di seluruh negara.

Bagaimanapun tidak dinafikan masih ramai rakyat yang tetap bercuti ke luar negara meskipun mengetahui nilai mata wang ringgit yang lemah pada masa ini.

Apabila lebih banyak aliran keluar mata wang ringgit, ia dilihat boleh memberi impak kepada industri pelancongan di dalam negara selain memberi kesan buruk pada jangka masa panjang.

Situasi itu tidak baik bagi ekonomi negara sekiranya proses pengaliran mata wang ke luar negara terus berlaku tanpa ada usaha menyeimbangkan antara kedua-dua aliran tunai berkenaan.

Justeru, rakyat digalakkan bercuti dalam negara selain tangguhkan hasrat dahulu untuk melancong ke luar negara buat masa ini bagi memastikan aliran ringgit ke luar negara dapat dikawal sekali gus membantu memulihkan pendapatan negara.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengutamakan pembelian barangan tempatan dan bercuti di dalam negara bagi membantu pembangunan industri tempatan serta memulihkan ekonomi negara bagi mendepani situasi kelemahan nilai ringgit ketika ini.

* Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian