Sultan Nazrin terima menghadap MB, Speaker Perak

Ahmad Faizal melambai kepada media sejurus selesai sembah mengadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini.
Ahmad Faizal melambai kepada media sejurus selesai sembah mengadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menyembah maklum situasi terkini pentadbiran kerajaan negeri.

Pertemuan itu berlangsung di Istana Kinta dengan kenderaan membawa Ahmad Faizal tiba pada jam 5.15 petang dan keluar kira-kira 25 minit kemudian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tiba dengan menaiki kenderaan peribadi diiringi Pegawai Khas Kanannya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

Pada sidang medianya, Ahmad Faizal berkata, dalam pertemuan itu, beliau menyembah maklum bahawa dirinya telah kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak selaku menteri besar.

"Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadap baginda Sultan dan saya sembah maklum tentang apa yang berlaku dalam Sidang DUN Perak pagi tadi.

"Tentunya Tuanku Sultan akan membuat beberapa pertemuan sehingga memilih seorang daripada kalangan anggota Dewan yang secukupnya untuk membentuk kerajaan," katanya.

Ahmad Faizal ketika ditemui sejurus selesai sembah mengadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini.
Ahmad Faizal ketika ditemui sejurus selesai sembah mengadap Sultan Perak di Istana Kinta hari ini.

Menurutnya, sehingga proses transisi itu berlaku, beliau akan bertindak sebagai kerajaan caretaker (kerajaan sementara) dengan meneruskan program kerajaan negeri seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, saya tidak berhasrat membuat sebarang keputusan besar.

"Usaha memberi khidmat kepada rakyat akan diteruskan dan esok pun saya ada satu program menyampaikan sumbangan yang perlu dihadiri," katanya.

Terdahulu, Sultan Nazrin turut berkenan menerima menghadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Turut mengadap, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin.

Keputusan usul undi percaya yang dibahaskan dalam Persidangan Dewan Negeri Perak hari ini tidak memihak kepada Ahmad Faizal apabila menyaksikan hanya 10 undi menyokong, 48 undi menolak manakala satu undi rosak.

Usul tersebut dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim.

Pada Mac lalu, Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 berikutan pembentukan kerajaan baharu menerusi gabungan Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu yang memperoleh sokongan 32 daripada keseluruhan 59 ADUN.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-12 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan di Perak pada 2018 lalu.