GLC disaran bangunkan sistem matawang sosial

Dr Mohd Daud Bakar
Dr Mohd Daud Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini disarankan untuk memperkenal dan membangunkan sistem matawang sosial untuk membantu meringankan beban ekonomi rakyat terutama ketika berdepan krisis.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, konsep matawang sosial iaitu upah dan imbuhan diberikan dalam bentuk bukan matawang biasa telah berjaya dilaksanakan di negara Barat dan tidak mustahil untuk dilaksanakan di negara ini.

Menurutnya, idea untuk menggerakkan matawang sosial di Malaysia memerlukan seorang individu atau sebuah agensi tampil ke depan membangunkan sistem itu dengan suntikan kewangan dikeluarkan pihak mereka sendiri.

Katanya, menerusi sistem itu, orang yang melakukan kerja-kerja sosial boleh diberikan unit dalam mata wang sosial dan ia boleh ditebus untuk mendapatkan perkhidmatan dan sebagainya.

"Saya rasa untuk bangunkan sistem ini, tak banyak (modal) pun tak sampai RM2 juta untuk memberi kredit (unit) dan sistem ini diwakafkan di mana mereka akan dapat pahala.

"Diharap selepas ini mana-mana GLC akan jadi pihak pertama yang laksanakan matawang sosial peringkat agensi masing-masing yang boleh diperluaskan ke seluruh negara keseluruhannya," katanya.

Dr Mohd Daud berkata demikian pada Wacana Al-Quran Siri 34 bertajuk 'Matawang sosial: Evolusi Ekonomi Baharu' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Daud (dua dari kiri) mengulas mengenai konsep matawang sosial pada Wacana Al-Quran Siri 34 bertajuk 'Matawang sosial: Evolusi Ekonomi Baharu' yang turut menampilkan Dr Amir (dua dari kanan) sebagai panelis. FOTO: ROSLI TALIB
Dr Mohd Daud (dua dari kiri) mengulas mengenai konsep matawang sosial pada Wacana Al-Quran Siri 34 bertajuk 'Matawang sosial: Evolusi Ekonomi Baharu' yang turut menampilkan Dr Amir (dua dari kanan) sebagai panelis. FOTO: ROSLI TALIB

Wacana itu turut menampilkan panelis Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Profesor Madya Dr Amir Shaharuddin dan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Johan Tilawah Asia di Brunei 2015 dan Thailand 2016, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur sebagai qari jemputan yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Qasas Ayat 27 hingga 28.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Daud menegaskan, dalam keadaan dunia kini sedang berada di zaman Revolusi Industri (IR) 4.0, idea untuk menjadikan matawang sosial dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian tidak menjadi satu masalah besar dan akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

"Kita boleh wujudkan sistem seperti sistem MySejahtera. Kita boleh perkenalkan sistem MyMatawangSosial di mana setiap mereka yang berkhidmat dan sudah melalui tapisan tertentu layak menerima unit-unit (ganjaran) seperti satu, dua atau 1,000 unit dan sebagainya.

"Zaman Nabi Musa AS telah dipraktikkan perkara ini apabila baginda ditawarkan berkahwin dengan seorang perempuan tetapi Nabi Musa tidak ada wang untuk menjadi mahar. Dalam kisah Nabi Musa, bapa perempuan yang mahu dikahwini baginda ditetapkan baginda perlu bekerja dengannya sebagai penggembala kambing selama lapan tahun dan nilai itu menyamai mahar.

"Ia diambil sebagai dalil oleh ulama kita bahawa orang yang nak berkahwin tetapi tidak ada wang boleh ajar al-Quran kepada bakal isterinya dan inilah dalilnya bahawa ilmu kita, perkhidmatan kita boleh ditukar kepada nilai wang," katanya.

Justeru itu, katanya, selain GLC, syarikat-syarikat korporat besar, majlis agama islam dan institusi pendidikan seperti universiti juga boleh melaksana dan mengembangkan sistem matawang sosial itu.