Sinar baharu penduduk Sik dan Baling

Berita penerokaan mineral REE bernilai RM62 bilion mungkin dapat membantu pembangunan Sik dan Baling, selain membawa peluang pekerjaan baharu, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk.
Berita penerokaan mineral REE bernilai RM62 bilion mungkin dapat membantu pembangunan Sik dan Baling, selain membawa peluang pekerjaan baharu, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk.
A
A
A

PENEROKAAN mineral yang dikenali ‘rare earth elements’ (REE) bernilai anggaran RM62 bilion di sebahagian besar di Sik dan beberapa kawasan di Ulu Muda, Baling, Kedah hangat diperkatakan sehari dua ini.

Anugerah mineral itu telah dikesan sejak berpuluh-puluh tahun dahulu, namun penggunaannya masih belum dimajukan dan diperlukan seperti dalam pembuatan komponen-komponen barangan digital seperti pada masa kini.

Permintaan terhadap mineral itu semakin tinggi selepas seluruh dunia bergerak ke arah digital, malah nilainya juga dikatakan lebih mahal daripada emas.

Daerah Sik dan Baling secara umumnya diketahui ramai penduduknya bekerja kampung, malah majoritinya adalah penoreh getah. Pembangunan di kawasan berkenaan juga agak perlahan berbanding di tempat lain, malah Sik dan Baling direkodkan antara dua daripada 28 daerah paling miskin di Malaysia seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada tahun 2019.

Berapa sangatlah hasil menoreh getah yang diperoleh penoreh, tambahan pula bagi mereka yang mengambil upah menoreh dan keuntungan perlu dibahagi dua dengan pemilik kebun. Harga getah sekerap yang tidak stabil dan pernah turun sehingga RM1.50 sekilogram menambahkan lagi derita mereka yang perlu mencari pendapatan harian untuk menyara keluarga setiap hari.

Apabila musim hujan, mungkin seminggu sehingga dua minggu mereka tidak dapat menoreh menyebabkan pendapatan harian terputus. Keadaan itulah yang sering didengari setiap kali membuat liputan tentang kehidupan mereka pada setiap hujung tahun.

Berbalik kepada penemuan mineral, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman kelmarin mahu anugerah tersebut dinikmati oleh rakyat di kawasan berkenaan terlebih dahulu sebelum dikongsi bersama dengan rakyat di kawasan lain di Kedah.

Pembangunan

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lebih banyak kerja kebajikan akan dapat dilaksanakan di Kedah apabila REE sudah berjaya dibawa keluar dari bawah bumi Sik dan Baling kerana masih ramai nasib rakyat yang perlu diberikan perhatian.

Permit penerokaan kepada sebuah syarikat tempatan di Kuala Lumpur yang bekerjasama dengan syarikat antarabangsa sudah pun diluluskan pada minggu lalu. Rakyat tidak perlu gusar kerana jenis mineral tersebut selamat untuk kehidupan manusia kerana tidak beradioaktif.

Proses penerokaan juga tidak dibenarkan dilakukan perlombongan dan syarikat berkenaan perlu mengeluarkan bahan-bahan mineral secara manual sedikit-sedikit menggunakan paip empat inci sebelum mengisytiharkan perolehannya kepada kerajaan.

Berita penerokaan REE mungkin dapat membantu pembangunan Sik dan Baling, selain membawa peluang pekerjaan baharu, sekali gus meningkatkan taraf hidup di kedua-dua daerah tersebut. Sudah tiba masanya, dua daerah itu turut dibangunkan untuk sekurang-kurangnya menyamai daerah-daerah lain di Kedah.

Pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan perlu bagi menyeimbangkan kemajuan di beberapa daerah lain seperti Alor Setar, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Kulim.

Namun, bagaimanakah hasil mineral itu akan diuruskan dengan baik apabila Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memaklumkan bahawa bahan mineral yang berada di dalam bumi secara semulajadinya mengandungi bahan radioaktif.

Menurut lembaga tersebut, bahan itu juga dikenali sebagai Bahan Radioaktif Berlaku Secara Semulajadi atau ringkasnya NORM.

Kata AELB lagi, sebarang aktiviti ekonomi yang melibatkan unsur nadir bumi yang mengandungi NORM adalah tertakluk di bawah kawalan perundangan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) sekiranya kandungan keradioaktifannya (uranium dan torium) melebihi had yang ditetapkan.

Oleh itu, kerajaan Kedah dan Persekutuan perlu bijaksana dalam memastikan hasil mineral tersebut bermanfaat terutama kepada penduduk Sik dan Baling.

*Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara