'Bertenang dulu, tumpu Covid-19'

Jaujan Sambakong
Jaujan Sambakong
A
A
A

KOTA KINABALU - Isu pandemik Covid-19 perlu diutamakan berbanding kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, Covid-19 kini mengancam nyawa masyarakat di negeri ini.

"Elok kita (Warisan) bertenang dulu kerana penyandangnya, Allahyarham Datin Manis Muka Mohd Darah baru saja kembali ke rahmatullah manakala negara kita kini berhadapan virus bahaya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan berkata, walaupun keadaan politik negara sedang 'panas' tetapi semua pihak perlu bertenang

"Kita faham suasana politik di negara kita pun panas juga dan sebaiknya kita kurangkan isu kehangatan politik.

"Masanya akan tiba juga nanti, insya-ALLAH," katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan pengisytiharan darurat bagi DUN Bugaya, beliau berkata, ia tidak menjadi masalah bagi Warisan.

"Kalau kerajaan membuat pertimbangan darurat disebabkan keselamatan nyawa akibat Covid-19, kita tiada halangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi DUN Bugaya adalah 16 Januari iaitu serentak diadakan dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik, Perak.

Turut ditetapkan ialah tarikh penamaan calon pada 4 Januari manakala 12 Januari sebagai tarikh mengundi awal.

Bagaimanapun, Isnin lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan untuk mencadangkan pengisytiharan darurat bagi kedua-dua pilihan raya itu sekiranya kawasan itu mempunyai risiko penularan Covid-19.

Kerusi DUN Bugaya kosong selepas penyandangnya meninggal dunia pada 17 November lalu akibat penyakit buah pinggang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertimbang cadang darurat di Parlimen Gerik, DUN Bugaya

PRK Gerik, Bugaya serentak pada 16 Januari