Perangi penguat kuasa korup

Dakwaan rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa sudah membarah hingga ke akar umbi.
Dakwaan rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa sudah membarah hingga ke akar umbi.
A
A
A

CERITA rasuah dalam sektor awam terutamanya dalam kalangan agensi penguat kuasaan seolah-olah tidak pernah ada noktah.

Sebelum ini negara digemparkan dengan perbuatan rasuah agensi penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melindungi gerai haram, penjualan rokok seludup dan judi yang membawa kepada penangkapan anggota penguat kuasa. Tidak lama selepas itu, kita disajikan pula dengan laporan berkaitan penglibatan anggota polis dalam sindiket Macau Scam.

Kali ini kita digemparkan dengan perbuatan rasuah melibatkan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara.

Ironinya, dalam kerajaan giat membanteras gejala rasuah, proses normalisasi rasuah berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa. Rata-rata kes rasuah yang ditumpaskan menunjukkan wujudnya sindiket terancang yang didalangi oleh anggota penguat kuasa itu sendiri.

Mereka menyalahguna kuasa untuk mendapatkan habuan kemewahan dengan cara singkat. Amatlah malang apabila memberi atau menerima imbuhan tidak lagi dianggap salah, mereka berpakat agar perbuatan tidak didedah supaya sama-sama dapat hidup mewah.

Tidak berniat menyinggung mana-mana agensi penguatkuasaan tetapi kita perlu menyatakan kebenaran walaupun pahit. Dakwaan rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa sudah membarah hingga ke akar umbi.

Bukan sikit usaha kerajaan untuk membanteras rasuah. Sehingga kini pelbagai sistem, instrumen dan kaedah diperkenalkan kerajaan sebagai inisiatif memerangi rasuah.

Ini termasuk Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP), Pemprofilan Tadbir Urus Manusia (HGP), Alat Penilaian Integriti (IAT), Pembangunan Integriti Komuniti (CIB) dan Program Latihan Etika dan Integriti (E&I).

Artikel Berkaitan:

Inisiatif

Setelah berlakunya peralihan kerajaan pada Mei 2018, penstrukturan semula struktur institusi yang terlibat dalam mengurus integriti dan tadbir urus sektor awam telah dilaksanakan secara besar-besaran.

Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan. Peranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Institut Integriti Malaysia diperkemaskan GIACC.

Penyusunan semula struktur yang mengurus sistem integriti sektor awam juga membawa kepada pengenalan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada Januari 2019.

Namun, dengan pendedahan demi pendedahan kes rasuah yang melibatkan nilai suapan bernilai lebih ratusan jutaan ringgit, pastinya pelbagai persolan bermain dalam fikiran kita. Sejauh manakah pelbagai inisiatif membenteras rasuah ini berjaya?

Pastinya, usaha memerangi rasuah ini bukan mudah dan penuh dengan cabaran. Ia tidak boleh berhenti separuh jalan bahkan komitmen berterusan dengan penuh ketegasan amat diperlukan.

Selain itu, keperluan mengkaji semula undang-undang terhadap anggota penguat kuasa yang korup termasuk prosedur pembuangan kerja yang ketat perlu diperhalusi.

Orang awam yang mempunyai maklumat pula harus berani ke depan melaporkan kes rasuah. Sesungguhnya, laungan budaya integriti yang tinggi dan dasar serta sikap toleransi sifar terhadap jenayah rasuah tidak boleh bersifat retorik. Pemantauan mestilah dilaksanakan dengan lebih kerap.

* Zurina Md Nen ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Kampus Seremban