Enam peniaga jual rokok, arak seludup ditahan

Mazuki (kiri) menunjukkan mercun, rokok dan minuman keras yang dirampas daripada peniaga sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar di IPD Kerian hari ini.
Mazuki (kiri) menunjukkan mercun, rokok dan minuman keras yang dirampas daripada peniaga sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar di IPD Kerian hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis merampas 342 karton rokok dan 22 botol minuman keras tidak bercukai serta 15 jenis mercun dianggarkan berjumlah RM50,000 dalam serbuan di enam rumah kedai sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar di sini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah bermula 25 November sehingga semalam hasil daripada maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, polis berjaya menahan enam lelaki berusia 18 hingga 49 tahun yang merupakan pemilik dan penjaga premis tersebut.

"Pemeriksaan menemukan rokok seludup di dalam premis selain minuman keras yang diragui cop kastam serta mercun pelbagai jenis.

"Serbuan mendapati kesemua barang disembunyikan dalam premis berkenaan dan dijual kepada pembeli dengan harga RM4 hingga RM6.50 bagi sekotak rokok dan RM23 sebotol minuman keras," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, lima suspek yang ditahan telah dilepaskan dengan jaminan polis bagi melengkapkan siasatan, manakala seorang suspek direman hingga esok.

"Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

"Barang rampasan rokok dan minuman keras akan dihantar kepada pihak Kastam untuk dinilai harga pasaran terkini serta Jabatan Kimia bagi menilai kandungan tembakau dalam rokok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.