Anggota polis minta wang kelindan lori ditahan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Polis akan menjalankan siasatan secara telus berhubung dakwaan seorang anggotanya yang meminta wang daripada seorang kelindan lori dalam satu sekatan jalan raya semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, suspek lelaki berusia 55 tahun itu telah pun ditahan di Senawang pada jam 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, polis telah menerima laporan daripada kelindan berkenaan pada jam 9.44 pagi yang mana dia mendakwa telah ditahan semasa melalui susur tol Senawang kerana tidak dapat menunjukkan surat majikan.

"Pada waktu itu, pengadu telah diminta untuk membuat bayaran dan bagi menggantikan bayaran, pengadu diminta menyerahkan bawang yang berada di dalam lorinya.

"Bertindak atas maklumat, siasatan terperinci telah dijalankan dan tangkapan ke atas suspek telah dibuat pada hari sama jam 12 tengah hari di Senawang di sini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Said berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci tanpa sebarang kompromi serta akan mengambil tindakan sewajarnya.

Terdahulu sebuah portal melaporkan seorang kelindan lori didakwa dipaksa 'meninggalkan' dua guni bawang sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya di Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Difahamkan insiden itu berlaku pada jam 2 petang, ketika lelaki berusia 26 tahun itu dan pemandu lori dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor untuk menghantar bawang serta ubi kentang di sekitar Seremban dan Senawang.

Artikel Berkaitan:

Lori tersebut tidak dibenarkan melepasi sekatan jalan raya dekat plaza tol Senawang kerana mereka didakwa gagal menunjukkan surat kebenaran perjalanan oleh polis.