15 pusat pengeluaran benih ikan dibina

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 15 buah pusat pengeluaran benih ikan di seluruh Malaysia yang mampu mengeluarkan benih ikan sehingga 20 juta ekor setahun telah dibina di bawah Program Pembangunan Induk dan Pengeluaran Benih Kebangsaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, usaha MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) itu bagi memantapkan rantai perbekalan dalam pembangunan induk dan pembenihan ikan termasuk ikan patin.

“Bagi negeri Pahang, terdapat dua pusat pengeluaran benih ikan iaitu di Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Bentong dan Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu penternak akuakultur mendapatkan benih ikan.

“Melalui Pusat Pengembangan Akuakultur di Bukit Tinggi dan Perlok, setiap penternak layak memohon bantuan benih dan makanan ikan secara percuma iaitu sekali bagi setiap penternak dengan nilai maksimum sebanyak RM10,000.

“Secara purata, benih ikan patin yang diedarkan kerajaan kepada penternak adalah sebanyak 5,000 ekor bergantung kepada bilangan benih sedia ada di pusat berkenaan bagi membantu penternak mengembangkan hasil pengeluaran mereka,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Jawapan tersebut dibaca oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir berhubung usaha kementerian untuk memantapkan rantaian perbekalan dalam pembangunan induk dan pembenihan ikan patin yang dikatakan sukar bagi pengusaha, khususnya dari Temerloh untuk mendapatkan anak ikan, selain harga bekalan yang meningkat.

Ronald menjelaskan, pengeluaran benih ikan negara juga disumbangkan oleh hatcheri (nurseri) swasta dengan kerajaan turut membantu pengusaha hatcheri melalui naik taraf fasiliti dan pemberian bekalan input (benih dan makanan ikan) dengan nilai maksimum sebanyak RM200,000.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi Pahang sahaja, terdapat 10 buah nurseri yang berdaftar dengan DOF untuk penternak patin mendapatkan sumber benih.