X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Covid-19 ditemui punca harga emas turun mendadak

Pelanggan dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengamalkan penjarakkan fizikal antara satu sama lain ketika berurusan di kaunter ketika tinjauan mengenai penurunan harga emas sekitar ibu kota, semalam. FOTO: BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Berita pengumuman penemuan vaksin Covid-19 yang memberi kelegaan kepada semua orang di dunia termasuk di Malaysia menjadi faktor utama penurunan harga emas secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Perunding Pelaburan Emas Syukor Hashim berkata, dari awal Januari sehingga Ogos tahun ini berlaku trend kenaikan harga emas sebanyak 37 peratus dan pernah melebihi RM300 segram, namun harga itu telah jatuh semula dan terkini RM256 segram.

“Punca harga emas naik itu disebabkan ancaman Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia dan orang ramai tidak berani berbelanja yang secara tidak langsung menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat.

“Namun apabila berita vaksin Covid-19 telah dijumpai tersebar, ia dilihat sedikit sebanyak mengurangkan risiko ancaman Covid-19 dengan pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat ekonomi dunia akan kembali pulih. Justeru, dalam situasi ini emas dilihat hilang tarikan sebagai aset selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan sehingga ada antara mereka telah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa urusan jual beli di kedai.

Ditanya mengenai bila jangkaan penurunan harga emas ini akan berakhir, Syukor berkata, ia tidak boleh dijangka kerana ia dipengaruhi berita dari masa ke masa yang memberi kesan kepada naik turun harga emas.

“Sebagai contoh, bagaimana proses peralihan kuasa Amerika Syarikat antara Joe Biden dengan Donald Trump, sekiranya ada ‘drama’ antara mereka harga emas boleh naik semula begitu juga implikasi berita politik mengenai Iran yang mendakwa saintis nuklearnya dibunuh oleh Israel.

“Dengan kata lain, harga emas naik bukan berpunca daripada Covid-19 sahaja tapi banyak faktor lain namun faktor utama tahun ini adalah wabak itu,” katanya sambil menambah apa sahaja situasi yang berlaku di Malaysia tidak mempengaruhi langsung perubahan harga emas.

ARTIKEL BERKAITAN Harga emas turun, jumlah pelanggan meningkat

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa kedai emas di sini mendapati kunjungan orang ramai dilihat berkurangan pada hari biasa berbanding pada hujung minggu, namun masih ada yang mengambil peluang untuk membeli barang kemas yang diidamkan.

Peniaga emas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat, Munirah Aqilah Mohd Zahari memberitahu penulis, pekerjanya tak menang tangan pada hujung minggu apabila kedainya diserbu orang ramai dan jumlah pelanggan dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Kejatuhan harga emas, menyebabkan pembeli mengambil kesempatan untuk menukar barang kemas lama dan ada juga yang mahu menempah yang baharu sebagai simpanan pelaburan dan aksesori untuk dipakai.

“Walaupun jumlah pembeli ramai, prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakkan fizikal dalam kedai, nama dan suhu tetap direkod mengambil kira situasi jumlah kes yang masih tinggi di negara ini,” katanya.

Munirah Aqilah berkat, walaupun harga emas turun dan jumlah pembeli yang ramai, namun keuntungan yang diperoleh tidak seperti semasa harga emas tinggi pada awal tahun.

Seorang lagi peniaga, Nik Ahmad Tarmizi Nik Hassan berkata, pada awal pemberian moratorium dilaksanakan, ramai pembeli mengambil kesempatan dengan duit simpanan yang ada membeli barang kemas meskipun harga emas ketika itu mahal.

“Ramai pelanggan yang datang menggunakan duit yang sepatutnya mereka bayar untuk pinjaman kereta atau rumah telah dibelanjakan untuk membeli barang kemas sebagai pelaburan jangka masa panjang,” katanya. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!