Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan negara hadapi sebarang kemungkinan – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara susulan perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan serantau dan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lima langkah diberi penekanan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Pertama, memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi. Kedua, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara.
"Ketiga, memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur dan sektor strategik negara. Ini termasuk tenaga, pengangkutan, kewangan, bekalan makanan. Keempat, kesiapsiagaan rakyat dan masyarakat," katanya ketika membacakan kenyataan rasmi kerajaan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar berkata, langkah kelima pula ialah memperkukuh keupayaan agensi dan penggunaan teknologi memandangkan antara ancaman yang berlaku ketika ini termasuk serangan siber.
Menurutnya, mesyuarat khas MKN itu turut meneliti implikasi serangan hibrid, digital dan siber selain ancaman serangan terhadap beberapa negara Teluk khususnya Iran serta kemungkinan kesannya terhadap penggunaan nuklear.
Kata beliau, perkembangan politik Eropah yang mungkin menjejaskan sistem pentadbiran dan memberi kesan kepada Malaysia turut diteliti dalam mesyuarat berkenaan.
"Jadi, yang penting perjumpaan semalam adalah membincang mekanisme yang sedia ada, penyelarasan yang lebih rapi di antara kementerian dan agensi dan pasukan keselamatan dan memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Petang ini, Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat dengan semua jabatan yang berkenaan dan Gabenor Bank Negara akan mengadakan sidang khas dengan semua institusi kewangan dalam negara," ujarnya.
Anwar menegaskan, kerajaan turut memantau ketegangan konflik Asia Barat, perkembangan di Yaman dan Laut Merah serta ancaman keselamatan di Eropah yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.
Tambahnya, kerajaan juga mengambil maklum serangan siber yang melanda infrastruktur digital Eropah dan dunia Barat termasuk sistem pentadbiran, dengan insiden dilaporkan berlaku di Belgium, Denmark, Amerika Syarikat dan Jepun.
Beliau berkata, pendekatan kesiapsiagaan itu turut mengambil pengajaran daripada Strategi Kesatuan Kesiapsiagaan Kesatuan Eropah ('EU Preparedness Union Strategy') yang melibatkan seluruh jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum.
Katanya, semua agensi, menteri dan kementerian diminta terus menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan penyelarasan berkesan serta badan di bawah pengawasan mereka berada dalam keadaan siap siaga.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau mendapat jaminan daripada Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara berhubung kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.
"Jangan kita fikir ancaman ini ancaman yang jauh dari kita kerana apa yang berlaku di Eropah dan di Amerika serta Jepun itu memang menggemparkan negara masing-masing.
"Saya ingin menegaskan bahawa bagi pihak kerajaan saban hari, semua agensi, menteri dan kementerian diminta terus menjalankan tanggungjawab, memastikan penyelarasan berkesan dan badan-badan di bawah pengawasan mereka itu siap siaga," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


