Keperwiraan pejuang Senoi Praaq

No Image Caption
A
A
A

KEJADIAN berbalas tembakan dua anggota Senoi Praaq dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar pada Selasa lalu telah mengangkat nama pasukan tersebut, selain membuktikan semangat juang masyarakat orang asli untuk mempertahankan negara.

Walaupun Senoi Praaq atau bermaksud 'orang perang' dalam bahasa suku kaum Semai telah ditubuhkan pada tahun 1955, namun ramai kurang tahu kisah perjuangan mereka yang kini adalah sebahagian daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) atau dahulunya Pasukan Polis Hutan (PPH).

Di sebalik peristiwa duka yang mengorbankan mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan mencederakan Sarjan Norihan Tari, Senoi Praaq yang penubuhannya bagi membantu British menarik sokongan masyarakat orang asli menentang pengganas komunis semakin disebut-sebut.

Ketangkasan, keberanian dan kemahiran mereka dalam menjejaki musuh menyaksikan anggota Senoi Praaq turut diambil menyertai pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 69 Komando. Ketika ini, terdapat dua batalion Senoi Praaq iaitu Batalion 18 di Pengkalan Hulu dan Batalion 3 di Bidor, kedua-duanya di Perak.

Semasa era insurgensi, satu operasi khusus telah dilancarkan untuk menjejak pengganas komunis yang diberi nama Operasi Bamboo melibatkan sepenuhnya anggota Senoi Praaq bermula pada tahun 1968 sehingga 1996 kerana kesulitan tugas menjejak dan mengesan pengganas komunis yang tinggal jauh ke dalam hutan di Perak serta Kelantan hanya sesuai dipikul Senoi Praaq yang mahir dengan selok belok hutan.

Keperwiraan mereka samalah juga seperti Rejimen Renjer Diraja dengan moto Agi Idup Agi Ngelaban yang asas penubuhannya daripada Sarawak Rangers yang ditubuhkan pada tahun 1862 dan diiktiraf sebagai antara penjejak terbaik di dunia.

Justeru, keberanian mendiang Baharuddin dan Norihan yang sanggup mempertaruhkan nyawa mencerminkan semangat keperwiraan seperti diwarisi daripada pejuang terdahulu. Sebelum ini tiga wira-wira masyarakat orang asli telah dianugerahkan pingat PGB.

Mereka ialah Cif Inspektor Long Pandak yang menerima PGB pada Jun 1981 semasa bertempur dengan pengganas komunis dalam Operasi Bamboo di Ulu Kelantan, Koperal Ada Kulim (1998) dan Sarjan Mejar Apot Saad (2003) iaitu penjejak lagenda Senoi Praaq sebelum menyertai 69 Komando.

Artikel Berkaitan:

Luar biasa

Seorang lagi penerima PGB dalam pasukan Senoi Praaq ialah mendiang Inspektor Gunasegaran Naidu pada Jun 1981 semasa mengetuai satu platun Senoi Praaq dalam operasi sama disertai Long yang ketika itu berpangkat koperal.Dalam operasi tersebut, Gunasegaran yang cedera parah akibat ditembak berjaya membunuh seorang musuh. Dia yang parah telah dibawa ke tempat yang lebih selamat oleh Long sebelum menghembuskan nafas.

Kesemua penerima PGB itu adalah contoh jelas semangat juang tinggi dan keberanian luar biasa yang dimiliki oleh perwira daripada masyarakat orang asli dalam pasukan keselamatan.

Begitu juga mendiang Baharuddin dan Norihan telah menunjukkan kepahlawanan sebenar yang tidak boleh disangkal mana-mana pihak. Baharuddin juga pernah menerima surat penghargaan pada Hari Polis ke-208 kerana menggagalkan cubaan menyeludup warga asing di sempadan Perlis bersama dua rakan sepasukan.

Selama ini jasa masyarakat orang asli dalam mempertahankan negara jarang diceritakan. Penganugerahan pingat keberanian PGB kepada dua wira berkenaan merupakan pengiktirafan buat warga pasukan Senoi Praaq. Keberanian mereka juga akan melahirkan lebih ramai anak masyarakat orang asli yang sanggup ke hadapan dalam mempertahankan pertiwi.

Seperti mana masyarakat dunia mengkagumi keberanian tentera Gurkha yang berasal dari kawasan pergunungan Himalaya atau keistimewaan suku kaum asli Amerika Syarikat, Navajo yang berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua sehingga diangkat ke layar perak, maka begitulah juga kehebatan Senoi Praaq.

Jasa pejuang Senoi Praaq dengan gelaran pembunuh senyap itu kekal terpahat dalam lipatan sejarah negara.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.