Anggota tambahan diperlukan perketat kawalan sempadan

Polis tidak menolak kemungkinan penyeludup akan beralih ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. Gambar kecil: Shafien Mamat
Polis tidak menolak kemungkinan penyeludup akan beralih ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. Gambar kecil: Shafien Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mungkin akan meminta tambahan anggota dari Bukit Aman sebagai langkah bersiap siaga dan memperketatkan kawalan sempadan Kelantan-Thailand, kata Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat.

Menurutnya, insiden yang berlaku antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan sekumpulan penyeludup di Perlis baru-baru ini tidak mustahil akan terjadi di Kelantan.

"Polis tidak menolak kemungkinan penyeludup akan beralih kegiatan mereka ke sini dan memilih laluan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

“Sepertimana yang kita tahu, kawalan ketat di sempadan utara kini dilakukan dan penyeludup mungkin mencari alternatif ke sebelah sini pula " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Menderma Darah Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kelantan, Zairihan Che Haron dan Timbalan Pengarah Perubatan III, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Tengku Anas Fathy Tengku Ahmad.

Shafien berkata, pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga dan memantau aktiviti di sempadan tanah air bagi mengekang sebarang penyeludupan dan kini turut memperkemaskan strategi dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, keadaan sempadan kini agak tenang namun semua agensi keselamatan disaran agar sentiasa dalam keadaan siap siaga.

Walaupun Kelantan kini sedang berdepan dengan musim banjir dan berlakunya peningkatan paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang namun pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

Pasukan keselamatan di sempadan termasuk Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 serta Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) kini memperketatkan kawalan dan sentiasa mengawasi segala aktiviti haram di sempadan. - Bernama