X

Kindly register in order to view this article
!

Rizab air Johor dijangka meningkat

HASNI MOHAMMAD
A
A

ISKANDAR PUTERI - Rizab air Johor dijangka meningkat susulan perancangan sedia ada kerajaan negeri termasuk beberapa lagi projek pembinaan loji baharu bakal dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sebanyak empat projek pembinaan loji baharu dan menaik taraf loji sedia ada telah disiapkan sebelum ini antaranya Loji Rawatan Air (LRA) Buloh Kasap, LRA Bukit Serampang, LRA Sungai Lebam dan LRA Pemanis.

"Pihak Ranhill SAJ komited dalam menyediakan kapasiti rizab bekalan air yang mencukupi dan berusaha untuk melaksanakan beberapa program menaik taraf serta membina loji rawatan air baharu sebagaimana digariskan dalam Pelan Perniagaan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Ini termasuklah projek-projek yang sedang dalam proses pembinaan dan dilaksanakan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) seperti Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2 (Fasa 1) yang berkapasiti 160 juta liter sehari dan LRA Pagoh berkapasiti 40 juta liter sehari serta LRA Kahang berkapasiti 40 juta liter sehari yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Tan Chen Choon (PH-Jementah) dan Tan Hong Ping (PH-Skudai) mengenai isu kelestarian bekalan air pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk di negeri ini, permintaan air pada tahun 2030 diunjurkan akan meningkat sehingga 28.18 peratus.

“Namun begitu, dengan projek-projek infrastruktur yang telah dirancang oleh kerajaan, penghasilan air terawat pada tahun 2030 dapat diunjurkan menyaksikan peningkatan sehingga sebanyak 20.63 peratus,” katanya.

Hasni menambah berdasarkan rekod Ranhill SAJ, sejak tahun 2016 sehingga tahun 2019, penghasilan air terawat telah menunjukkan peningkatan sebanyak 18.39 peratus berbanding dengan permintaan air yang meningkat sebanyak 20.48 peratus dalam tempoh yang sama.

"Pada masa ini, terdapat 45 buah loji rawatan air yang memperoleh sumber

bekalan air permukaan (sungai dan empangan) iaitu membekalkan air bersih kepada pengguna sebanyak 663,261.14 juta liter setahun atau 1,817.15 juta liter sehari.

"Bagaimanapun, sekiranya berlaku cuaca kering atau pun panas seperti fenomena El-Nino, loji rawatan air yang akan terjejas adalah LRA Sungai Gembut dan LRA Lok Heng, manakala loji rawatan air lain masih boleh beroperasi kerana masih mempunyai sumber air yang optimum," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!