X

Kindly register in order to view this article
!

Dua hari 'senyap', ketukan misteri kembali hantui penduduk

Siti Noraini bersama suaminya (kanan) menunjukkan pintu dapur rumahnya diketuk semasa lawatan Zulkifli (kiri) ke rumahnya hari ini.
A
A

SABAK BERNAM - Gangguan bunyi ketukan tanpa salam di Taman Air Manis di sini sudah reda dua hari sebelum ini tetapi gangguan sama kembali menghantui penduduk sejak malam kelmarin.

Seorang penduduk, Siti Noraini Ngah, 26, mendakwa, dia terdengar bunyi ketukan misteri sebanyak tiga kali ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya bersama seorang anak berusia tujuh tahun.

Menurutnya, kejadian ketukan pintu dapur rumahnya pada jam 12.53 pagi kelmarin itu berlaku sewaktu suaminya, Abd Halil Yatimi, 40, bersama anak bongsunya berusia tujuh bulan sedang tidur di dalam bilik.

"Saya dengar pintu dapur rumah diketuk tiga kali dan ketika itu saya hanya mendiamkan diri sahaja.

"Kemudian dalam beberapa saat, sekali lagi terdengar bunyi ketukan di tempat sama sebelum saya ke dapur mengintai di celah tingkap," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Siti Noraini berkata, dia tidak nampak kelibat atau bayang seseorang dan kemudian terus ke bilik mengejutkan suaminya memaklumkan kejadian itu.

"Seram juga apabila kejadian ini menimpa saya, sebab sebelum ini rumah mentua di Parit 13 Sungai Panjang pernah diganggu bunyi misteri itu seminggu lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, kejadian terbaru berlaku di taman itu pada jam 10.44 malam semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran pusat kawalan Rondaan Sukarela Cegah Jenayah (RSCJ) Taman Air Manis.

"Kami dimaklumkan pengadu dan keluarganya mendengar ketukan sebanyak tiga kali di depan pintu rumah," katanya.

Zulkifli berkata, sehingga kini, sebanyak 11 kes ketukan pintu dilaporkan di Taman Air Manis sejak mula tular lapan hari lalu.

Katanya, pelbagai maklum balas diterima sepanjang kejadian tular itu hingga ada dalam kalangan mereka tidak lena tidur pada waktu malam.

"Saya juga dapat maklumat ada ibu yang sarat mengandung terpaksa tunggu suami pulang ke rumah pada waktu malam di stesen minyak kerana ketakutan.

"Saya rasa tersentuh dengan hal sebegini dan berharap ia segera berakhir bagi menenteramkan penduduk semula," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya berterima kasih kepada pasukan polis yang sentiasa melakukan rondaan dan memberikan kerjasama berterusan kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Shafie Hassan, 67, berkata, kejadian ketukan pintu rumahnya di PPRT Tebuk Pulai didengari isterinya, Siti Zabedah Fazaldin, 52, ketika sedang menggoreng ayam di dapur.

Katanya, kejadian ketukan misteri di pintu depan rumahnya itu berlaku pada jam 1.30 pagi tadi.

"Isteri memaklumkan dia mendengar bunyi ketukan tetapi apabila melihat di tingkap tiada kelibat ditemui.

"Menjadi kebiasaan isteri tidur lewat kerana menyediakan bahan-bahan masakan untuk berniaga keesokannya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil mangsa ketukan misteri beri keterangan

Misteri ketukan pintu redakan stres orang Selangor

Gangguan ketukan pintu makin 'mengganas'

Wanita dakwa misteri ketuk pintu dah sampai Port Dickson!


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!