X

Kindly register in order to view this article
!

Polis panggil mangsa ketukan misteri beri keterangan

Laporan portal Sinar Harian mengenai misteri ketukan pintu di rumah penduduk.
A
A

SABAK BERNAM - Polis sudah memanggil beberapa mangsa yang mendakwa diganggu dengan bunyi ketukan misteri bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian yang tular di beberapa kampung dan taman perumahan di daerah ini sejak tujuh hari lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, penduduk termasuk ahli paranomal yang membuat rakaman secara 'Live' telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua mangsa ketukan pintu misteri dapat hadir ke balai polis bagi memberikan keterangan.

"Bagi mangsa yang tidak dapat memberikan keterangan di balai, kami (polis) pergi ke rumah mereka untuk mendapatkan maklumat berkaitan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Agus Salim memaklumkan sehingga kini pihaknya hanya menerima satu sahaja laporan polis yang dibuat pemimpin peringkat kampung berhubung gangguan ketukan misteri itu.

"Kita menerima satu aduan yang dibuat pada 22 November lalu yang mendakwa rumahnya diganggu sebanyak dua kali termasuk 24 rumah penduduk di kampung terbabit," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri ketukan pintu hantui penduduk

Misteri ketukan pintu didakwa sudah sampai Kuala Selangor

Polis beri amaran tindakan tegas pihak cuba takutkan penduduk

Dengar jeriji pintu digegar, objek dilempar ke dinding rumah

'Dengar bunyi ketukan tapi tiada pelaku dalam CCTV'

Dalam pada itu, katanya, polis juga turut meningkatkan rondaan di beberapa kawasan kampung dan taman perumahan terlibat.

"Kita juga meminta kerjasama semua penduduk agar membuat rondaan di kawasan masing-masing bagi menangani isu ini," katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak menokok tambah atau menyebarkan perkara yang boleh menimbulkan ketakutan kepada masyarakat.

"Polis bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas isu ini. Jika ada maklumat, salurkan segera kepada pihak polis," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menakut-nakutkan penduduk berikutan kejadian tular ketukan pintu yang mengganggu penduduk beberapa kampung di daerah ini pada waktu malam.

Agus Salim menegaskan, pesalah yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan kerana mengundang ketakutan dan kegusaran kepada orang awam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!