PKPD: Penduduk Taman Telipok Ria terjejas maklum segera kepada JKM

Taman Telipok Ria dikenakan PKPD bermula semalam hingga 10 Disember depan.
Taman Telipok Ria dikenakan PKPD bermula semalam hingga 10 Disember depan.
A
A
A

TUARAN - Penduduk Taman Telipok Ria yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diminta memaklumkan segera kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Pegawai JKM Daerah Tuaran, Jani Lani berkata, pengagihan bantuan bakul makanan sudah dilakukan lebih awal sebelum PKPD dikuatkuasakan di kawasan itu semalam.

Jani Lani
Jani Lani

"Sebelum PKPD dilaksanakan, kita sudah berbincang dengan Jawatankuasa Pusat Bencana Daerah dan kita telah merangka gerak kerja.

"Di peringkat JKM, kita telah berikan bantuan awal sebenarnya iaitu sebanyak 3,544 bakul makanan diagihkan pada 23 dan 24 November lalu bagi mengelak berlaku masalah dari segi kekurangan bekalan makanan ketika tempoh PKPD dilaksanakan.

"Bagaimanapun, jika dalam tempoh 14 hari ini sekiranya masih ada kekurangan, kita minta penduduk dalam kawasan PKPD ini merujuk ke bilik gerakan yang kita wujudkan," katanya kepada pemberita di lokasi PKPD Taman Telipok Ria.

Beliau dalam pada itu memberi jaminan untuk membantu penduduk kawasan berkenaan dari masa ke masa.

"Sekiranya golongan isi rumah yang benar-benar memerlukan, kita akan bantu.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk dari segi keperluan bayi dan golongan berisiko pesakit kronik yang terlantar memerlukan susu dan lampin pakai buang dewasa.

"Kita daripada pihak JKM berusaha untuk memenuhi kehendak penghuni di kawasan PKPD ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya juga turut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penduduk yang perlu ke hospital.

"Penduduk atau pesakit dari lokaliti ini yang mempunyai temu janji atau melakukan hemodialisis di hospital, mereka jangan risau kerana akan disediakan pengangkutan.

"Mereka boleh berhubung dengan pusat gerakan kami dirikan dan membawa pesakit ini untuk mendapatkan rawatan di hospital," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dianggarkan seramai 18,000 penduduk dikenakan PKPD di Taman Telipok Ria yang berkuatkuasa sehingga 10 Disember depan.

Difahamkan, lokaliti itu membabitkan kawasan seluas 28 hektar dan terbesar di Sabah.