Institusi kewangan perlu lebih fleksibel

Raja Kamarul Bahrin (dua, kanan) ketika melawat tapak perumahan RIR di Santong, hari ini.
Raja Kamarul Bahrin (dua, kanan) ketika melawat tapak perumahan RIR di Santong, hari ini.
A
A
A

DUNGUN - Institusi kewangan perlu lebih fleksibel dengan memberi kelonggaran kepada pemohon yang mempunyai pendapatan kedua untuk membuat pinjaman perumahan bagi menyempurnakan impian rakyat memiliki rumah pertama.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, rakyat pada hari ini begitu tertekan apabila sukar mendapatkan kelulusan pinjaman rumah walaupun sebenarnya mampu.

“Kita perlu dekati institusi kewangan untuk membincangkan perkara ini. Bukan sahaja meluluskan pinjaman permohonan membabitkan gabungan pendapatan suami isteri tetapi perlu mengambil kira pendapatan lain.

“Pekerjaan kedua pemohon yang tidak rasmi, contohnya mereka mampu mengemukakan bukti atau penyata pendapatan selama enam hingga 12 bulan. Pemohon mampu buktikan dia mempunyai pendapatan sampingan yang stabil harus diberi keistimewaan,” katanya pada sidang media ketika lawatan tapak rumah SPNB di Santong, Paka di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi menggerakkan sektor perumahan lebih ke hadapan, sistem perbankan perlu lebih tersusun supaya hanya permohonan yang benar-benar layak diterima.

“Selama ini ramai pemohon unit merungut dan ada yang menunggu berbelas tahun serta mereka layak. Bukan hanya layak tetapi sistem tidak tersusun kerana pemilihan telah dibuat mengikut selera pihak-pihak tertentu sebelum PRU 14. Ini diharapkan dapat diubah dengan adanya pemusatan sistem data.

“Contohnya bila tekan data sistem perbankan dapat kenal pasti siapa yang sudah memiliki rumah atau belum. Memang banyak rungutan orang yang dapat rumah kedua dan ketiga , malah menyewakan semula. Tetapi kali ini kita akan pastikan hanya yang betul-betul layak menerimanya,” katanya.

Berdasarkan lawatan itu, projek rumah idaman rakyat (RIR), Kampung Santong berjalan lancar dan diyakini mampu disiapkan mengikut tarikh ditetapkan iaitu pada Jun 2020.

Artikel Berkaitan: