Polis perlu bermusuh dengan penjenayah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

POLIS sepatutnya bermusuh dengan penjenayah dan bukan bersekongkol dengan golongan berkenaan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila wujud segelintir anggota keselamatan yang menjadi dalang di sebalik aktiviti jenayah di Malaysia.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini.

Katanya, lebih 20 anggota dan pegawai kanan polis disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Satu pujian kepada Abdul Hamid kerana beliau berani mendedahkan salah laku anggotanya demi keselamatan negara sekali gus mengelakkan rakyat daripada mempersoalkan integriti pasukan keselamatan negara itu.

Tindakan beliau itu sudah tentu menggembirakan rakyat yang mencintakan ketelusan, namun pada masa sama, pengesahan KPN itu juga boleh bertukar kepada berita yang meresahkan rakyat.

Sekiranya, salah laku terus berlaku dalam institusi kepolisan negara, kepada siapa lagi mereka mahu meletakkan kepercayaan dalam hal berkaitan keselamatan?

Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini media kerap melaporkan pegawai dan anggota polis, termasuk pihak berkuasa yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara ditahan kerana bersekongkol dengan penjenayah.

Sudahnya, kepercayaan rakyat terhadap polis mula terhakis sedikit demi sedikit sehingga ia mencemarkan nama baik anggotanya yang sebelum ini disanjung tinggi, sebaris dengan kerjaya guru.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, rakyat tidak pernah membenci polis, malah sedia membantu demi membanteras jenayah.

Justeru, imej polis perlu dipulihkan dengan menyingkirkan ‘musang berbulu ayam’ yang berada dalam pasukan berkenaan tanpa memberi kata dua.

Kalau tidak, pasukan keselamatan negara itu akan terus dipandang jelek sementara kredibilitinya di persada kepolisan antarabangsa pula akan diletakkan sebaris dengan Mexico, Venezuella, Ukraine dan Kenya yang dikenali kerana salah laku anggota polisnya.