X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021 lulus bukti kematangan ahli Parlimen

Datuk Seri Bung Moktar Radin
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan majoriti ahli Parlimen menyokong untuk meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar yang dibentangkan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencerminkan kematangan ahli Parlimen berfikir dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dengan beberapa penambahbaikan seperti yang dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini membuktikan kerajaan cakna terhadap bebanan yang dihadapi rakyat yang berhadapan dengan kemelut ekonomi ekoran penularan koronavirus (Covid-19).

"Alhamdulillah majoriti ahli Parlimen telah meletakkan kepentingan rakyat dengan memberikan sokongan membolehkan Belanjawan 2021 ini di peringkat dasar diluluskan sekali gus membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun hadapan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beberapa aspek utama diberikan perhatian oleh kerajaan dalam belanjawan ini iaitu bantuan yang menambah aliran tunai rakyat dan perniagaan, bantuan kewangan langsung dan mewujudkan pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.

"Program i-Sinar yang dibuka untuk kesemua lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000 membolehkan rakyat mempunyai wang untuk berbelanja dan menyara kehidupan keluarga," katanya.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan yang memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi memerangi Covid-19 di Sabah.

"Sabah adalah negeri yang amat terkesan dengan penularan Covid-19 dan adanya peruntukan tambahan ini ia boleh dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kemudahan kesihatan yang sedia ada bagi membendung penularan virus ini.

"Selain pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup, Belanjawan 2021 amat penting bagi kerajaan dan pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung ancaman wabak Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!