Polis, ATM perketat sempadan Malaysia-Thailand

Polis Kelantan melakukan rondaan bagi memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan tanah air antara Malaysia-Thailand. Gambar kecil: Shafien Mamat
Polis Kelantan melakukan rondaan bagi memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan tanah air antara Malaysia-Thailand. Gambar kecil: Shafien Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus bergandingan bahu dalam memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan tanah air antara Malaysia-Thailand hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, langkah itu susulan tragedi yang mengorbankan seorang wira negara anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) akibat serangan kumpulan penyeludup yang menembak mangsa hingga mati.

Menurutnya, peristiwa yang berlaku di Padang Besar, Perlis itu menjadi perkara yang perlu diingati seluruh anggota keselamatan supaya berwaspada berdepan ancaman ganas penyeludup di sempadan.

“Perbincangan diadakan bersama panglima supaya kawalan sempadan dipertingkatkan dan semua anggota dalam penugasan dinasihatkan sentiasa berhati-hati.

“Dalam melaksanakan undang-undang, anggota perlu menyiapkan diri dengan kelengkapan-kelengkapan bagi berdepan ancaman,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan (JKKNK) di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, kawalan di sempadan terkawal dengan kerjasama daripada seluruh agensi yang terlibat.

Dalam insiden awal pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terbunuh, manakala rakannya Koperal Norihan Tari, 39, cedera parah.

Artikel Berkaitan:

Mereka berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.