X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir di Perak: 373 mangsa masih berlindung di PPS

Keadaan PPS di SK Kayan yang kini menempatkan 30 mangsa banjir.
A
A

IPOH - Hujan lebat berterusan mengakibatkan beberapa kawasan di negeri ini terutama di daerah Kerian, Manjung dan Hilir Perak terus dilanda banjir.

Setakat jam 11 pagi tadi, masih terdapat 373 mangsa daripada 119 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak 20 November lalu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, daerah Kerian merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 259 orang yang kini berlindung di dua PPS.

Menurutnya, seramai 169 mangsa daripada 69 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka sejak lima hari lalu.

"Sementara 90 orang lagi berada di SK Changkat Lobak, kesemua mereka merupakan penduduk dari Kampung Matang Tengah, Bagan Serai," katanya.

Bagi daerah Manjung, seramai 30 penduduk dari Kampung Ulu Kayan dipindahkan ke SK Kayan sejak Isnin lepas selepas banjir melanda kawasan itu.

Di Hilir Perak pula, PPS di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap yang sebelum ini telah ditutup dibuka semula kelmarin bagi menempatkan 84 mangsa banjir daripada 22 keluarga.

Mereka merupakan penduduk dari Batu 9; Lorong Kedah, Batu 8; Kampung Baru, Batu 8; Lorong Mesra, Batu 7; Batu 7 ½ dan Lorong Sidang Osman dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!