Kesan calar dan gigitan serangga pada mayat, kata saksi

Nora Anne
Nora Anne
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas mayat Nora Anne Quoirin di lokasi remaja perempuan warga Ireland-Perancis ditemukan mendapati tiada kesan kecederaan serius pada tubuh badan mangsa.

Pegawai Turus Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asistan Superintendan S Udiasoorian, 59, berkata, sebaliknya pemeriksaan yang dijalankan bersama pakar forensik patologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban Dr Hanif Mahmud pada 13 Ogos 2019 itu mendapati hanya terdapat kesan calar di kaki serta kesan gigitan serangga pada tubuh mangsa.

“Saya melihat mayat tersebut berada dalam keadaan melintang dan mengiring sebelah kiri sambil memeluk tubuh dalam anak sungai yang arusnya mengalir perlahan. Saya juga mendapati terdapat tiga ranting kayu kering di atas badan mangsa dipercayai ranting yang jatuh dari pokok,” katanya.

Udiasoorian yang merupakan saksi ke-40 dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-19 di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Saksi itu turut memberitahu, mayat Nora Anne ditemukan di anak sungai selebar 2.27 meter (m) dengan kedalaman air, lapan sentimeter (cm).

“Tinggi tebing sungai ke paras permukaan air lebih kurang 30cm, tinggi jurang sebelah kanan sungai ke kepala mayat lebih kurang 16.2m dan tinggi jurang sebelah kiri sungai ke kaki mayat lebih kurang 9.5m. Hasil pemeriksaan sekitar 100m radius dari mayat ditemukan, tidak menemukan bahan fizikal yang lain,” katanya.

Udiasoorian juga memaklumkan bahawa tiada sebarang jejak tapak kaki diperoleh di sekeliling mayat remaja berkenaan ditemukan pada hari kejadian selain dua sampel tanah iaitu di bahagian bawah badan mangsa dan tanah berhampiran telah diambil untuk dibuat perbandingan.

Pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian selama satu jam 46 minit itu, saksi juga bersetuju dengan soalan peguam mewakili keluarga Nora Anne, S Sakthyvell bahawa air sungai yang perlahan di lokasi remaja itu ditemukan mungkin boleh menghilangkan jejak tapak kaki.

Artikel Berkaitan:

Pegawai polis itu yang menyertai D10 sejak 17 Julai 2017 turut memberitahu bahawa sembilan kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dan mengambil 55 calitan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) pada kenderaan untuk tindakan lanjut pegawai penyiasat kes.

Kesemua pemeriksaan dan calitan di kenderaan berkenaan diambil bagi tempoh 10 hingga 17 Ogos 2019.

Udiasoorian juga memaklumkan bahawa pihaknya pada 7 Ogos tahun lepas turut melakukan pemeriksaan ke atas Sora House, vila dua tingkat yang menjadi penginapan Nora Anne dan keluarga di The Dusun Resort dan telah mengumpulkan tiga sampel calitan dipercayai kesan peluh, tiga helai rambut dipercayai milik remaja berkenaan dan lapan kesan cap jari.

Katanya, kesemua barang kes berkenaan diperoleh di tingkat atas vila berkenaan memandangkan pemeriksaan di tingkat bawah telah dilakukan oleh Bahagian Bantuan Teknik (D6) Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dan Bahagian Forensik Bukit Aman, masing-masing pada 4 dan 6 Ogos 2019.

Prosiding inkues bersambung 30 November. - Bernama