X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Teliti Belanjawan 2021, selami kesungguhan kerajaan bantu rakyat

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak termasuk rakyat diminta meneliti intipati Belanjawan 2021 bagi menilai kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam membela nasib golongan yang kini menghadapi kesukaran akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, belanjawan itu dirangka dengan menitikberatkan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan, malah kerajaan turut komited untuk memperhalusi cadangan penambahbaikan sambil mengimbangi setiap keperluan rakyat.

“Kebelakangan ini, terdapat banyak tohmahan dan kritikan yang dilemparkan terhadap keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat, lebih-lebih lagi ketika Belanjawan 2021 menunggu masa untuk diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 November ini.

“Saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan menilai sendiri komitmen kerajaan yang terserlah melalui empat pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan dalam hanya tempoh lapan bulan dan telah memberi manfaat kepada berjuta-juta keluarga, rakyat serta beratus-ratus ribu perniagaan.

“Malah, kita semua telah menerima manfaat secara langsung atau tidak langsung,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-30 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Penjana hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah proaktif dalam Belanjawan 2021 termasuk peruntukan tambahan RM1.5 bilion selama tiga bulan untuk 70,000 majikan dan 900,000 pekerja sektor pelancongan dan peruncitan bagi memastikan kesemua sub-sektor terbabit dan paling terkesan mendapat bantuan secukupnya.

Selain itu, kerajaan juga bersedia memperuntukkan sejumlah RM1 bilion sebagai pakej galakan pelaburan nilai tambah tinggi seperti aeroangkasa dan elektronik selain RM3.7 bilion untuk menjana peluang pekerjaan dengan kerjasama pihak syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta.

Menurutnya, dana lebih RM9 bilion bakal diuruskan untuk memperkasa infrastruktur digital negara, termasuk menambah baik kesalinghubungan 430 buah sekolah dan kawasan perindustrian selain usaha menyediakan kemudahan alat elektronik mudah alih dan komputer riba demi membantu perjalanan rakyat ke arah norma baharu masa kini.

Semua bantuan langsung dan inisiatif untuk pekerjaan termasuk Program Subsidi Upah dan Kemudahan Bantuan Khas melebihi RM90 bilion untuk 2020 dan 2021, adalah disalurkan kepada rakyat, pekerja dan majikan.

Malah, tegas beliau, semua pihak boleh memohon tanpa mengira bangsa atau agama.

“Ini adalah sebahagian daripada agenda kerajaan untuk menjamin bahawa setiap rakyat dapat mengecapi hasil pembangunan negara, selaras dengan semangat kemakmuran bersama menerusi Belanjawan 2021.

“Secara keseluruhannya, saya yakin usaha kerajaan akan meletakkan negara di landasan yang betul, dengan rekod prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar terbaik di kalangan beberapa negara ASEAN pada suku ketiga 2020 dan kadar pengangguran yang kian menurun,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!