Sarjan dijel sehari, denda RM8,000 kerana terima rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dipenjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,500 pada Oktober 2017.

Azhari Razali, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Azhari yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima wang berkenaan daripada Suhaidee Harris Fadillah, 40.

Kesalahan didakwa dilakukan di IPD di sini pada jam 8.35 malam, 16 Oktober 2017.

Atas kesalahan itu, dia dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, pada jam 5 pagi, 17 September 2017 lalu, Suhaidee didatangi tiga anggota polis ketika dia sedang mengepam tayar kereta Proton Iswara di sebuah stesen minyak di Seksyen 15 di sini.

Ketika membuat pemeriksaan, polis berkenaan menemui dua parang dan sepeket dadah disyaki syabu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh kemudiannya dilantik menjadi pegawai penyiasat bagi kes itu dan Suhaidee dilepaskan atas jaminan mahkamah.

Pada 14 Oktober 2017, Suhaidee kembali ke balai polis untuk mengambil kad pengenalannya dan mendakwa tertuduh menyatakan jika mahu kes memiliki senjata diselesaikan tanpa perlu ke mahkamah, dia perlu membayar RM4,000 kepada tertuduh.

Dua hari kemudian, Suhaidee menyerahkan wang RM3,000 kepada tertuduh iaitu potongan RM1,000 daripada jumlah asal.

Bagaimanapun, tertuduh mengembalikan RM500 kepada Suhaidee sebagai ‘wang manis’.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

“Tertuduh menyalahgunakan amanah yang diberi lebih-lebih lagi ia adalah kesalahan serius, maka pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah agar melihat kesan serta pengajaran kepada tertuduh sendiri dan kepada orang awam,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Saranjeet Kour Sindhu merayu agar anak guamnya diberi hukuman ringan atas alasan dia berasa kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Anak guam saya merupakan salah seorang kakitangan barisan hadapan, bertugas di sekatan jalan raya ketika negara berusaha membendung penularan kes Covid-19.

“Dia mengalami masalah kewangan kerana perlu menyediakan wang bagi rawatan bapanya yang menghidap penyakit jantung, selain perbelanjaan untuk keluarga di kampung termasuk isteri serta tiga anaknya,” katanya.