25 individu dicekup cuba guna laluan tikus

PATI yang ditahan cuba keluar dari sempadan negara menggunakan laluan tikus di kawasan Serudong, Tawau.
PATI yang ditahan cuba keluar dari sempadan negara menggunakan laluan tikus di kawasan Serudong, Tawau.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan 25 individu cuba keluar dari sempadan negara menggunakan laluan tikus gagal apabila dicekup dalam Op Benteng di kawasan Serudong, Tawau pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan seorang individu berstatus Pemastautin Tetap (PR) ditahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika melakukan operasi di kawasan itu.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, semua individu itu ditahan di lokasi yang sama, namun pada waktu yang berasingan iaitu antara jam 9 malam hingga 9.30 malam.

Menurutnya, tangkapan pertama seorang lelaki yang berstatus PR yang dipercayai bekerja sebagai penyelia ladang bertindak memandu sebuah lori bersama enam PATI lain untuk balik ke kampung mereka di Indonesia.

Kenderaan yang digunakan untuk cuba keluar dari sempadan negara di Serudong, Tawau ke Indonesia.
Kenderaan yang digunakan untuk cuba keluar dari sempadan negara di Serudong, Tawau ke Indonesia.

"Tangkapan kedua pula kira-kira selang 15 minit kemudian, seramai 16 PATI menaiki sebuah lori yang tiada nombor pendaftaran melalui jalan yang sama untuk pulang ke Indonesia.

"Kemudian tangkapan ketiga juga selang 15 minit terdapat dua PATI menaiki motosikal ditahan selepas didapati mempunyai tujuan yang sama dengan tangkapan sebelumnya," katanya.

Katanya, kesemua PATI itu didapati tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah dan dipercayai bekerja di kawasan berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Nilai rampasan dianggarkan mencecah RM39,820 iaitu membabitkan 50 kilogram gula, sebuah motosikal dan dua lori serta barangan peribadi PATI berkenaan.

"Kesemua PATI dan seorang lelaki PR bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut," katanya.