X

Kindly register in order to view this article
!

‘Ada baik dan buruk hidupkan GST’

A
A

SHAH ALAM - Pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mampu memberi kesan positif bukan sahaja kepada ekonomi dan negara tetapi juga kepada rakyat.

Profesor Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, beliau sangat mengalu-alukan sekiranya kerajaan melaksanakan semula GST kerana sistem cukai tersebut sangat efisien dan mampu menambah pendapatan negara sehingga RM40 bilion ke RM50 bilion setahun.

Bagaimanapun katanya, GST itu perlulah diubahsuai dan dikenakan ke atas barangan mewah sahaja dan tidak dikenakan ke atas barangan keperluan seperti beras, minuman, elektrik, air, pendidikan dan lain-lain.

“Perkara itu perlu diberikan perhatian jika kerajaan mahu memperkenalkan semula GST supaya ia tidak membebankan golongan yang tidak berkemampuan seperti sebelum ini.

“Malah namanya juga tidak semesti GST dan boleh ditukar kepada nama cukai barangan bukan keperluan umpamanya.

“Dengan GST juga, kerajaan tidak perlu untuk melaksanakan cukai baharu kerana ia sudah merangkumi semua cukai sedia ada, malah ia dapat mengurangkan cukai pendapatan terutamanya kepada golongan pertengahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Semalam Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research memaklumkan Kementerian Kewangan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah menambah pendapatan termasuklah kemungkinan untuk memperkenalkan GST kembali.

Sementara itu, Pensyarah Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan idea memperkenalkan semula GST sebagai tidak wajar kerana masih ada lagi alternatif lain untuk menambahkan kewangan negara.Beliau berkata, GST adalah cukai ke atas perbelanjaan rakyat dan jika diperkenalkan semula, ia akan membebankan ekonomi rakyat yang belum tentu pulih sepenuhnya pada tahun hadapan kesan daripada pandemik Covid-19.

Shazali
Shazali

Menurutnya, jika GST menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetapi dengan kadar yang lebih rendah seperti tiga peratus, hasil kutipannya akan menyamai hasil kutipan SST.

Oleh itu katanya, GST tidak akan membantu menambahkan hasil negara, melainkan kadar dinaikkan lebih dari tiga peratus tetapi sudah tentu kenaikan kadar itu akan membebankan rakyat Malaysia.

“Jika kerajaan ingin memperkenalkan cukai baharu, mungkin boleh perkenalkan cukai harta pusaka dan capital gain tax atau cukai atas modal tambahan.

“Tetapi saya berpendapat, ada cara lain untuk kerajaan mengurus hasil dan perbelanjaan tahunan iaitu dengan mengurangkan pengambilan hutang baharu setiap tahun.

“Ia kerana pengambilan hutang baharu setiap tahun menyebabkan komitmen hutang tahunan semakin bertambah dan menghampiri 15 peratus daripada hasil tahunan negara, menyebabkan kerajaan terdesak mencari cara untuk menambahkan hasil.

“Jika hutang dapat dikawal, penambahan hasil akan memberi lebihan kepada kerajaan,” katanya.

Ahmed Razman berkata, hutang dapat dikawal dengan menghentikan pengambilan hutang baharu dan menggunakan kaedah netting atau muqassah dalam urusan perbelanjaan negara.

Contohnya kata Ahmed Razman, jika awal tahun 2021 kerajaan perlu mengambil hutang untuk membayar gaji kakitangan kerajaan, apa yang kerajaan boleh buat ialah tidak mengambil hutang tetapi membayar gaji kakitangan dalam bentuk tunai bersama baucar.

Ahmed Razman
Ahmed Razman

“Kalau sebelum ini bayar gaji sebanyak RM5,000 seorang, kali ini bayar RM2,500 tunai dan RM2,500 dalam bentuk baucar.

“Baucar itu kemudiannya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas, membayar pinjaman bank, bayaran utiliti dan sebagainya.

“Apabila peruncit, bank dan syarikat utiliti menerima baucar itu, mereka boleh melunaskannya kepada kerajaan melalui kaedah kontra dengan bayaran cukai yang mereka perlu bayar untuk tahun tersebut.

“Bank kena bayar RM10 juta untuk cukai tetapi disebabkan ada baucar bernilai RM6 juta, maka bank hanya perlu tunai RM4 juta sahaja.

“Dengan cara itu, kerajaan tidak perlu berhutang awal tahun dan hutang kerajaan dapat dikurangkan setiap tahun,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!