X

Kindly register in order to view this article
!

Ubah perspektif tandas awam

A
A

BUKU The Porcelain God: A Social History of the Toilet hasil penulisan Julie Horan menjelaskan bahawa peradaban manusia bukan lahir daripada penciptaan sistem tulisan, sebaliknya ia bermula dengan pembinaan tandas yang pertama. Evolusi tandas adalah proses kemajuan tamadun manusia.

Kajian Pertubuhan Tandas Sedunia (WTO) mendapati, seseorang individu secara purata menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau enam hingga lapan kali sehari. Justeru, keperluan tandas yang bersih sangat penting dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Walaupun dunia bertambah maju, di seluruh dunia hampir 2.5 bilion manusia tinggal di kawasan dengan sistem sanitasi tidak sempurna. Di Asia Tenggara sahaja, kira-kira 180 juta orang tidak berupaya mendapat tandas yang sempurna. Ia menjadi punca ancaman terhadap kesihatan manusia sejagat. Akibatnya, setiap tahun dianggarkan 1.8 juta manusia yang kebanyakannya kanak-kanak mati dan menderita akibat penyakit bawaan makanan dan air.

Berikutan itu, Hari Tandas Sedunia disambut pada 19 November setiap tahun di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang budaya tandas bersih.

Walaupun Malaysia mempunyai akses kepada sanitasi dan air bersih, namun tahap kebersihan tandas khususnya tandas awam masih mengecewakan terutama di kompleks beli-belah, hotel, stesen minyak, pejabat kerajaan, sekolah, restoran dan sebagainya.

Kebanyakan tandas awam termasuklah tandas berbayar mempunyai tahap kebersihan yang rendah walaupun pelbagai kempen telah dijalankan untuk meningkatkan kebersihannya. Pada tahun 2019 sahaja, sebanyak 61 peratus daripada 10,257 tandas awam di seluruh Malaysia berada dalam keadaan teruk.

Isu kejelikan tandas awam bukanlah masalah baharu untuk diperkatakan kerana ia sudah lama berantaian dalam sistem kehidupan masyarakat Malaysia. Boleh dikatakan, majoriti masyarakat tidak ambil peduli, tidak bertanggungjawab dan memandang remeh pembudayaan kebersihan tandas awam.

Setiap kali Tahun Melawat Malaysia, ramai pelancong memberi komen yang baik terhadap negara kita kecuali komen negatif mengenai tandas awam. Maka, amat perlu untuk kita menukar persepsi mereka. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan, malah meningkatkan kualiti tandas awam mengikut peredaran zaman, namun mentaliti masyarakat masih mentaliti kelas ketiga.

'Komuniti Prihatin, Tandas Bersih’ diangkat sebagai tema sambutan Hari Tandas Sedunia di Malaysia pada tahun ini bagi memberi kesedaran kepentingan mewujudkan tandas awam yang bersih. Mentaliti masyarakat Malaysia harus berubah. Kurangnya sifat prihatin mahupun sense of belonging (milik sendiri) menyebabkan ada yang malas untuk menjaga kebersihan tandas awam dan menyerahkan seratus peratus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun tukang cuci.

Kita harus mempunyai anjakan minda bahawa isu tandas bukanlah isu yang kotor tetapi ia melibatkan aspek kesihatan dan harus diberi perhatian. Justeru, semua pihak perlu menggembleng tenaga, kepakaran dan sumber untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh yang mempunyai kemudahan tandas awam yang bersih dan disokong oleh penggunaan tandas yang beretika.

Pendidikan menggunakan tandas dengan betul mestilah bermula di rumah dan diamalkan di sekolah. Apabila generasi muda berdisiplin ketika menggunakan tandas sekolah dan rumah, secara semula jadi budaya tersebut akan terbawa-bawa di tandas awam, bak kata peribahasa, kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!