Pasangan tinggal mayat bayi depan masjid ditahan

Mayat bayi perempuan ditemui dalam beg plastik di kawasan parkir kereta sebuah masjid di Sungai Way, Petaling Jaya semalam. Gambar kanan: Sekeping nota yang ditinggalkan bersama mayat bayi di hadapan masjid di Sungai Way, Petaling Jaya semalam.
Mayat bayi perempuan ditemui dalam beg plastik di kawasan parkir kereta sebuah masjid di Sungai Way, Petaling Jaya semalam. Gambar kanan: Sekeping nota yang ditinggalkan bersama mayat bayi di hadapan masjid di Sungai Way, Petaling Jaya semalam.
A
A
A

PETALING JAYA – Dua individu ditahan selepas dikesan meninggalkan mayat bayi perempuan mereka di hadapan sebuah masjid di kawasan Sungai Way di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kedua-dua individu masing-masing lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

“Mayat bayi itu yang ditinggalkan bersama sekeping nota ditemui imam masjid berkenaan kira-kira jam 8.45 malam semalam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Difahamkan melalui nota tulisan tangan itu, mereka meminta pihak masjid menguruskan jenazah bayi itu kerana mendakwa tidak mempunyai tempat tinggal sempurna serta tidak tahu cara menguruskan jenazah, selain turut tidak mempunyai wang untuk membawa jenazah anaknya ke hospital.

Ku Mashariman berkata, siasatan awal mendapati mayat bayi itu ditinggalkan bersebelahan tayar kereta milik imam yang diparkir berhadapan masjid berkenaan.

“Pasangan itu bagaimanapun mengaku telah meninggalkan bayi mereka di hadapan masjid itu,” katanya.

Menurutnya, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 kanun keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda.

Artikel Berkaitan: