Ihsan sebagai teras integriti

No Image Caption
A
A
A

SATU istilah yang melambangkan nilai etika Islam yang asli ialah ihsan. Ihsan bermakna kesempurnaan (excellence) iaitu penghayatan dalaman diri manusia yang menjelma dalam tindakan dan amalan, juga mempunyai hubungan rapat dengan tanggungjawab sosial berdasarkan komitmen yang tinggi.

Secara ringkasnya, ihsan pada prinsipnya ialah tindakan yang dilakukan dengan niat yang keluar dari dalam hati nurani sendiri. Malah, ihsan merangkumi semua sifat baik menurut istilah agama yang universal seperti takwa, iman, amanah, syukur, sabar dan ikhlas, dan merangkumi istilah moden seperti integriti, benar, telus, bijaksana, adil, rajin, tekun dan lain-lain sifat kecemerlangan insan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya ALLAH menyuruh (kamu) berlaku adil dan ihsan, dan memberikan hak kaum keluarga, dan (Dia) melarang (kamu) daripada melakukan keburukan dan kemungkaran serta kezaliman. Dia mengingatkan kamu semoga kamu mengambil pelajaran.“ (Surah Al-Nahl ayat 90)

Hanya dengan perutusan yang ringkas daripada Tuhan ini pun, ia dengan sendirinya menjelaskan bahawa ihsan seharusnya menjadi budaya insan yang diamalkan sepanjang hayat sebagai tabiat dan darah dagingnya. Budaya ialah cara hidup, adat dan tradisi yang merupakan komitmen seseorang tanpa dipaksa dari luar.

Ajaran agama menjadi satu unsur terpenting dalam membudayakan sifat-sifat baik seperti ihsan ini. Namun, amalan budaya yang diwarisi daripada suku bangsa sendiri, sifat ihsan dalam konsep integriti dan etika adalah merupakan satu bibit atau biji benih yang lahir dalam budaya bangsa dan persekitaran bangsa itu sendiri dengan baiknya.

Sifat-sifat ini adalah sifat fitrah atau asal kejadian manusia yang dijadikan suci dan bersih secara aslinya, tetapi persekitaran dan latar belakang kehidupan manusia, sering mencemarkan sifat suci ini dan kehadiran unsur-unsur perosak dalam bentuk nafsu keji manusia atau lain-lain, akan mengubah tabiat manusia yang bersih itu.

Manusia dilahirkan sebagai makhluk yang bersih, tetapi ia juga memerlukan ketahanan diri atau antibodi yang kuat untuk menghadapi segala macam virus, kuman, pencemaran air dan udara serta lain-lain yang sentiasa menyerang daya tahannya, dan membawa berbagai-bagai penyakit merbahaya, termasuk penyakit hati yang sering disifatkan oleh al-Quran sebagai satu penyakit yang amat serius.

Dalam konteks pandemik Covid-19 umpamanya, manusia boleh berusaha mengelakkan jangkitan dengan mematuhi SOP yang cuba dilaksanakan oleh manusia dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan penyakit tersebut. Demikian juga dengan sifat manusia yang sering terbuka kepada banyak gejala buruk dalam hidupnya, maka manusia juga boleh berusaha membersihkan dirinya daripada gejala itu

Artikel Berkaitan:

Rasulullah menerangkan bahawa, “Setiap penyakit ada ubatnya, kecuali tua dan mati”. Kalau seorang manusia itu merasa dirinya telah dihinggapi penyakit kerana salah laku, rasuah, jenayah, zalim dan sebagainya, maka ia hendaklah mencari penawar dan ubatnya.

Ihsan dalam konteks integriti adalah merupakan satu kemahiran. Maka yang perlu dijawab ialah bagaimanakah menggunakan perasaan dalaman dan hati nuraninya sendiri untuk membersihkannya, termasuk ajaran agama dan budaya hidupnya sendiri, untuk membina peribadinya yang menghayati sifat mulia dan baik?

Kepada yang beragama pun dia haruslah sedar bahawa agama bukanlah tongkat sakti yang dapat mengubah sesuatu dalam sekelip mata. Agama memerlukan sistem operasional untuk dijadikan pengajaran, penghayatan dan kemahiran untuk digunakan bagi membina insan yang sempurna.

Bagi yang beragama, maka dalam hal ini agama mempunyai kelebihan untuk menanamkan rasa takwa kepada ALLAH dan balasan baik atau jahat pada hari akhirat nanti, iaitu dengan tertanamnya dalam sanubari akan rasa God consciousness/God fearing yang menjadi pendorong untuk manusia beramal soleh dan berakhlak mulia.

Namun apa-apa pun keputusan yang dilakukan oleh manusia, maka dirinya itulah yang mengawalnya untuk menjadi seorang yang bersifat dengan sifat Ihsan yang dinamakan sebagai Muhsin.

* Datuk Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia