Belanjawan 2021 naik taraf hasil karyawan tempatan

FINAS menghargai keprihatinan kerajaan terhadap nasib para penggiat industri kandungan kreatif tempatan menerusi pembentangan bajet itu. - Foto: Laman web Finas
FINAS menghargai keprihatinan kerajaan terhadap nasib para penggiat industri kandungan kreatif tempatan menerusi pembentangan bajet itu. - Foto: Laman web Finas
A
A
A

DUGAAN pandemik koronavirus (Covid-19) yang berlaku di seluruh dunia turut memberikan tekanan kepada pemain industri kreatif negara.

Sepanjang tahun ini menyaksikan banyak projek ditangguhkan menyebabkan aliran tunai yang dihasilkan industri ini terus mengalami penurunan. Malah banyak projek-projek berada di ambang kerugian dan penggiat seni turut terkesan secara individu.

Bagi memastikan karyawan seni kreatif tempatan mampu menjana pendapatan dan terjamin kebajikan mereka, pelbagai usaha sedang dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Peruntukan dana bernilai RM190 juta disalurkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang ditadbir dan diurus oleh MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (CENDANA), di bawah pengawasan KKMM yang akan memberi manfaat kepada pemain industri kreatif.

Ia dirangka khas untuk membantu industri seni, budaya, hiburan dan pementasan, sama ada penggiat atau perniagaan berteraskan seni yang terkesan dengan pandemik Covid-19, untuk bangkit semula dan meneruskan aktiviti kreatif mereka.

Sehingga kini lebih daripada 2,000 permohonan penggiat seni diterima di bawah program PENJANA dan banyak lagi yang masih diteliti. MyCreative Ventures menawarkan geran, latihan dan pembiayaan iaitu:

- Geran Pemasaran Digital dan Promosi

Membantu penggiat industri kreatif memasarkan barangan, perkhidmatan atau bakat melalui aplikasi, paparan iklan dan pengantara digital.

Artikel Berkaitan:

- Program Halaju Digital

Program dalam bentuk nasihat dan latihan untuk membantu penggiat industri kreatif menerapkan aspek digital kepada perniagaan atau aktiviti kreatif dan kesesuaiannya dengan norma baharu.

- Pinjaman Mudah bagi Sektor Seni, Budaya dan Hiburan

Inisiatif yang disasarkan kepada syarikat-syarikat kreatif yang terjejas membangunkan semula perniagaan dan meneruskan kesinambungan ekosistem industri kreatif tempatan.

Selain itu, Geran Pemulihan Industri Kreatif (GPIK) yang terdiri daripada Geran Acara dan Pameran Digital, Geran Filem Cereka Seni atau Festival dan Geran Sastera dan Penerbitan Buku telah turut ditawarkan sejak Julai.

Sembilan buah program dibangunkan di bawah CENDANA dan sehingga kini lebih daripada 300 penggiat seni diluluskan untuk program berkenaan, manakala permohonan bagi program yang lain masih diteliti.

CENDANA juga masih mengambil maklum balas daripada penggiat seni pasca Belanjawan 2021 untuk memberi keutamaan kepada keperluan mereka bagi tahun hadapan.

Inisiatif-inisiatif di bawah CENDANA bertumpu kepada industri-industri seni dan budaya yang telah dilaksanakan antaranya:

- Program Pemulihan Ruang Seni

Peruntukan nilai geran sehingga RM35,000 termasuk perbelanjaan operasi asas iaitu sewa, utiliti dan kos pemasaran.

- Program Pembiayaan Ketahanan Organisasi Seni

Peruntukan nilai geran sehingga RM150,000 selama 12 bulan.

- Pilihan Industri Kraf CENDANA

Peruntukan insentif tunai sehingga RM30,000 untuk mendorong artisan Malaysia terus berkarya.

- Program Pembiayaan Karya Kilat

Peruntukan nilai geran sehingga RM1,500 bagi setiap individu seni dan RM3,500 bagi setiap kolektif atau organisasi seni.

Sementara itu, KKMM juga sentiasa meneliti pelaksanaan dasar dan program kerajaan untuk membantu sektor-sektor industri kreatif terus berkembang dan membangun.

KKMM akan memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) menerusi agensi-agensinya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Bagi memacu semula pelaburan dalam sektor perfileman, Insentif Penggambaran Filem di Malaysia telah ditambah baik melalui penurunan kadar Kelayakan Perbelanjaan Produksi dalam Malaysia (FIMI) dengan anggaran peruntukan sebanyak RM40 juta.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK), KKMM telah melancarkan program ‘Nyanyi dari Rumah’ dan ‘Muzik dari Rumah’ bagi membantu penyanyi termasuk buskers yang tidak dapat menjana pendapatan akibat pembatalan program.

KKMM turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Kajian Etnik (KITA) bagi melaksanakan penyelidikan mengenai isu hak cipta ekonomi kreatif dan kebajikan penggiat industri kreatif, baru-baru ini.

Kerjasama itu dimeterai melalui Surat Hasrat bagi projek penyelidikan bertajuk Mengenal Pasti Isu-Isu Hak Cipta Ekonomi Kreatif dan Kebajikan Penggiat Industri Kreatif.

Ia bertujuan mengenal pasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah industri kreatif negara dengan menggunakan infrastruktur dan kemudahan sedia ada.

Pada masa yang sama, Panel Khidmat Nasihat Industri Kreatif juga telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh wakil-wakil daripada KKMM, Majlis Pembangunan Industri Kreatif Negara (MPIKN), pemain industri, peguam serta penggiat seni yang berpengalaman. Panel ini akan mula beroperasi pada awal tahun 2021. Hotline e-mel Panel iaitu nasihatkreatif@kkmm.gov.my telah diaktifkan bagi menerima cadangan berkaitan isu-isu industri kreatif.

Bukti keprihatinan

Warga seni dan kru balik tabir turut menerima peruntukan RM15 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid menzahirkan tanda penghargaan terhadap usul Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Katanya, Finas turut menghargai keprihatinan kerajaan terhadap nasib para penggiat industri kandungan kreatif tempatan menerusi pembentangan bajet itu.

“Bajet bersifat komprehensif itu mencerminkan usaha komited kerajaan dalam menangani keresahan rakyat yang berdasarkan tiga matlamat induk.

“Belanjawan 2021 juga menepati matlamat Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi dalam mendepani cabaran negara akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.

 Zakaria Abdul Hamid
Zakaria Abdul Hamid

Menurutnya, Finas bergerak awal untuk Program Pelaksana Dana Kandungan Digital kepada pembikin filem dengan bajet RM40 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, penggiat seni wajar menghargai dan perlu bijak memanfaatkan peruntukan berkenaan untuk kelangsungan kerjaya mereka.

Nasihatnya, penggiat seni tidak seharusnya bertindak negatif apabila ada sesetengah pihak mempertikai hala tuju peruntukan yang diberikan menerusi CENDANA.

“CENDANA memang fokusnya lebih kepada mempromosikan dan menjana ekonomi seni persembahan, industri kreatif dan kebudayaan.

“Finas tidak ada kena mengena dengan peruntukan itu kerana CENDANA yang akan mengawal selia semuanya tetapi penggiat seni lain tidak usah panik hanya kerana peruntukan tidak diberikan kepada Finas. Kita (Finas) ada dana pengurusan dan dana pembangunan yang mencukupi sehingga tahun hadapan,” katanya.

Ahmad Idham
Ahmad Idham

Pensyarah Kanan, Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Faudzi Musib berpendapat, kerajaan semakin jelas dengan peranan seni serta budaya sebagai elemen kesejahteraan rakyat.

“Sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, komitmen kerajaan di dalam mengukuh serta memberi keutamaan sektor seni dan budaya jelas dikotakan seperti di dalam polisi.

“Berdasarkan soal selidik, pekerja seni dan budaya di Malaysia terkesan secara negatif akibat Covid-19 dan 70 peratus daripada mereka hampir atau hilang punca pendapatan sepenuhnya,” katanya.

Komitmen kerajaan dalam merealisasikan pendigitalan melalui kehidupan normal baharu turut disambut baik.

“Pembekal perkhidmatan jalur lebar berperanan besar dalam menyediakan ‘super highway’ untuk menampung bahan rakaman audio dan visual artis-artis dari seluruh pelosok dunia.

“Persembahan kreatif secara dalam talian atau ‘real time’ memainkan peranan pada masa depan bukan lagi konsep pra-rakaman seperti yang berlaku sekarang ini,” katanya.

x-default
x-default