Melaka Gateway: Penamatan perjanjian tidak mengikut undang-undang

Michelle Ong (kiri) ketika bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Michelle Ong (kiri) ketika bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pemaju Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) mendakwa penamatan perjanjian penambakan laut yang dibuat oleh kerajaan Melaka adalah bertentangan dengan undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Michelle Ong berkata, ini kerana syarikatnya mendapat notis penamatan tersebut yang telah ditandatangani pada 3 Oktober itu hanya pada 16 November lalu.

Menurutnya, tindakan kerajaan Melaka itu dilihat tidak bertanggungjawab memandangkan sebanyak RM700 juta telah dibelanjakan semenjak pembangunan wilayah tersebut dimulakan pada tahun 2014.

“Melaka Gateway adalah sebuah projek pembangunan yang menyeluruh oleh sebuah syarikat swasta. Ia bukan semata-mata hanya projek penambakan yang baru ditamatkan itu.

“Penamatan tersebut bukan sahaja akan menamatkan pembangunan tersebut, tetapi ia juga akan memberikan persepsi negatif kepada pelabur asing yang mahu melabur ke dalam negara kita.

“Oleh itu kami menegaskan yang tindakan kerajaan Melaka menamatkan perjanjian penambakan laut itu adalah bertentangan dengan undang-undang dan tidak adil,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Michelle yang merupakan pengasas KAJD berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikatnya itu juga tidak memerlukan sebarang kos daripada kerajaan Melaka.

Katanya, penamatan perjanjian tersebut adalah tindakan yang tidak masuk akal memandangkan projek yang telah mendapat status Projek Nasional tersebut dijangka bakal mentransformasikan ekonomi negeri tersebut secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Kerajaan Melaka telah menamatkan perjanjian penambakan KAJD iaitu syarikat pemaju Pembangunan Melaka Gateway di Pulau Melaka di berkuat kuasa 3 Oktober lalu.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataannya memaklumkan, perjanjian yang bermula sejak 4 Oktober 2017 itu ditamatkan berikutan syarikat berkenaan didapati gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan dan satu notis penamatan perjanjian sudah dikemukakan kepada syarikat terbabit.

Syarikat terbabit juga dikehendaki menyerahkan tapak projek berkenaan berkuat kuasa daripada notis penamatan itu dikeluarkan oleh kerajaan Melaka dan segala urusan berbangkit mengenai tapak projek Melaka Gateway hendaklah berhubung terus dengan kerajaan negeri.

Melaka Gateway ialah projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau baharu dengan dua daripadanya adalah buatan manusia yang dijangka siap pada 2025.

Nilai bagi projek berkenaan adalah RM43 bilion yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Februari 2014 dan projek itu disifatkan dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.

Projek itu merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.