Penduduk Meru 2C dipakaikan gelang 'pink'

Kawad duri yang dipasang di sekitar kawasan Taman Meru 2C berikutan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula hari ini.
Kawad duri yang dipasang di sekitar kawasan Taman Meru 2C berikutan pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua penduduk di Zon B dan C di Taman Meru 2C, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dipakaikan gelang merah jambu bagi tujuan pengawasan koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, langkah itu dibuat bagi tujuan pengesanan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang 14 hari PKPD dikuatkuasakan bermula hari ini sehingga 3 Disember depan.

"Sepanjang PKPD ini, kita tidak benarkan mana-mana penduduk keluar dari kawasan ini kecuali untuk kes-kes kecemasan dengan kebenaran daripada polis.

"Kita pun ada pasukan pemantau di dalam dan semua yang berada di taman ini akan dipakaikan gelang pink menjadikan kawasan perumahan ini bertukar seakan pusat kuarantin juga," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan hari pertama PKPD di Taman Meru 2C di sini hari ini.

Menurutnya, sejak saringan bersasar dilakukan di situ pada 15 November lalu, seramai 1,287 orang daripada jumlah keseluruhan 2,096 penduduk telah selesai menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19.

"Daripada jumlah saringan itu, didapati 23 orang yang menjalankan saringan pada 15, 16 dan 17 November adalah positif Covid-19, ini tidak termasuk kes asal yang menyebabkan tindakan ini, sementara baki keputusan saringan yang lain masih belum diperoleh," katanya.

Laluan masuk utama ke Taman Meru 2C telah dikenakan kawalan sekatan jalan raya.
Laluan masuk utama ke Taman Meru 2C telah dikenakan kawalan sekatan jalan raya.

Pihaknya berharap penduduk memberi kerjasama yang baik tanpa keluar rumah sesuka hati sementara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bertungkus-lumus mengelak penularan virus itu keluar dari kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Oleh kerana pewartaan PKPD ini dibuat lebih awal, kebanyakan penduduk sudah pun membuat persediaan bekalan lebih awal, bagi bekalan makanan kering akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bahan basah pula disalurkan bergantung kepada permintaan.

"Kita akan berusaha membantu penduduk kerana paling penting kita tidak mahu mereka bebas keluar masuk, khuatir objektif PKPD ini akan terganggu," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bermula tengah malam tadi, keseluruhan jalan masuk ke kawasan Zon B dan C termasuk laluan tikus telah dipasang kawad duri dan penghadang konkrit bagi mengawal pergerakan keluar masuk orang awam.

Katanya, sebanyak empat sekatan jalan raya dibina dengan penugasan 162 anggota membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Bagi tugasan keselamatan di lokaliti, kita juga menyediakan unit peronda polis (MPV) dan rondaan jalan kaki di sekitar kawasan taman.

"PKPD di sini tidaklah seperti di tempat lain yang terpaksa dikepung dan dipaksa membuat saringan.

"Penduduk di sini majoritinya warga tempatan dan mereka memberi kerjasama yang cukup baik kepada pihak berkuasa, tidak ada cubaan melarikan diri atau sebagainya," katanya.