1MDB: Bekas Pengerusi PAC anggap laporan Ambrin benar

Hasan Ariffin
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Ariffin menganggap laporan asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang adalah laporan sebenar tanpa pindaan seperti didakwa.

Hasan berkata, beliau berpegang teguh dan percaya kepada kenyataan yang Ambrin yang memaklumkan tiada sebarang pindaan dibuat terhadap laporan audit akhir 1MDB yang disediakan oleh beliau.

Ahli Parlimen Rompin itu berkata, beliau tidak tahu menahu berkenaan pengugguran perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang diburu, Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB yang didedahkan Ketua Audit Negara yang baharu, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, malah yakin dengan laporan yang dibentangkan Ambrin sebelum ini.

“Tak ada, tak ada (pinda), Ambrin dah nafikan dan kita tak tahu menahu perkara itu.

“Lagipun Ambrin sudah menafikan pindaan dan kita ambil perkara yang sebenar sahajalah . Bagi saya apa yang dibawa dan dibentang oleh Ambrin dalam mesyuarat PAC, itulah laporannya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau bagaimanapun, meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kertas laporan audit yang dibentangkan Ambrin yang juga menafikan wujudnya pindaan seperti yang didedahkan baru-baru ini.

“Kita tak tahu, kita anggap itulah laporannya,” jelas Hasan.

Ahad lalu, Madinah mendedahkan, kehadiran Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB diarah digugurkan dalam penyediaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Menurut Madinah, perkara itu diarahkan bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

Madinah berkata, beliau telah menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC pada 4 Mac 2016.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nama Jho Low diarah gugur dari Laporan Akhir 1MDB]


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia