X

Kindly register in order to view this article
!

Isteri sarat hamil, suami bawa balik isteri orang

Kedua-duanya mengaku suami isteri sedangkan sudah berkeluarga dan mempunyai anak ketika diserbu penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).
A
A

KULIM - Sepasang kekasih sanggup mengaku sudah berkahwin sedangkan masing-masing berstatus suami dan isteri orang ketika diserbu penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) di sebuah rumah di Taman Sungai Kob, Karangan di sini awal pagi tadi.

Penguat kuasa PADK, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pihaknya pada jam 4.40 pagi, pasangan berusia 29 dan 37 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka ada hubungan suami isteri.

Beliau berkata, pada mulanya mereka mendakwa telah bernikah di Thailand sebelum ini, namun pemeriksaan lanjut akhirnya membongkar status bahawa kedua-duanya sudah berkeluarga.

"Lelaki terbabit mempunyai seorang anak dan isterinya sedang sarat mengandung anak kedua yang dihantar pulang ke kampung.

"Wanita itu pula masih berstatus isteri orang dan mempunyai dua orang anak serta dikatakan dalam proses penceraian," katanya.

Serbuan di rumah lelaki terbabit turut disertai pegawai masjid serta orang awam yang mengesyaki berlaku maksiat di lokasi terbabit.

Kedua-dua mereka yang merupakan rakan sekerja di sebuah kilang di sini dibawa ke Balai Polis Sungai Kob untuk laporan tangkapan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"PADK turut mengarahkan kedua-dua mereka dijamin oleh isteri dan ibu bapa sebelum dibenarkan pulang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!