Suami hantuk kening isteri dijel tiga bulan

Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan kepada seorang suami yang menghantukkan kepalanya ke kening isteri hingga cedera.
Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan kepada seorang suami yang menghantukkan kepalanya ke kening isteri hingga cedera.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan suami yang juga seorang penganggur menghantukkan kepalanya ke kening isteri hingga mangsa menerima tujuh jahitan, mengundang balasan apabila dia dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Mohd Faizal Maula Azanan, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu Sabtu lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan ke atas isteri, Noriza Mohd Nordin, 35, dengan menghantukkan kepalanya di kening kanan mangsa, di sebuah unit Pangsapuri Sri Tioman 2, Jalan Pertahanan, Setapak di sini pada jam 4 pagi, 13 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum di bawah Seksyen 323 kanun keseksaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara yang setimpal dengan mengambil kira kecederaan dihadapi mangsa, sehingga perlu menerima jahitan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana mengaku kesalahan terhadap isterinya.

"Maaf, saya menyesal, diharap tempoh hukuman itu dikurangkan kerana saya ada anak malah berjanji mahu membaiki kehidupan ini," katanya.