Kedah guna khidmat 5 YouTuber luar negara untuk promosi negeri

Mohd Firdaus ketika menjawab pertanyaan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar hari ini.
Mohd Firdaus ketika menjawab pertanyaan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah memperkenalkan pendekatan baharu mempromosi pelancongan negeri menerusi lima YouTuber dari luar negara susulan kekangan pandemik Koronavirus (Covid-19).

Exco Pelancongan negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, seramai lima Youtuber dari Jerman, Portugal, Kanada, New York dan Filipina itu bakal menyertai program 'Roadtrip Jom Mai Kedah' untuk memperkenal dan mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan di negara masing-masing.

Menurutnya, program anjuran Kedah Tourism itu sepatutnya bermula bulan ini namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tidak dapat masuk ke negara ini kerana pintu masuk negara ditutup berikutan Covid-19.

"Selepas dilancarkan, ia dijangka meraih 120,000 tontonan bagi setiap vlog yang dimuat naik dalam laman YouTube peserta. Dijangka 70 peratus penonton adalah domestik, selebihnya penonton antarabangsa," katanya ketika menjawab soalan Hanif Ghazali (Tanjung Dawai-Pas) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Mohd Firdaus berkata, sebanyak 21 vlog akan dihasilkan yang akan menampilkan maklumat berkaitan tempat pelancongan menarik di Kedah, makanan dan budaya serta memperkenalkan daerah lain yang kurang dikenali.

“Kita harap program ini dapat menarik tontonan lebih 840,000 setelah keseluruhan vlog dimuat naik di YouTube. Pada masa sama menarik minat pelancong luar untuk datang ke Kedah, sekali gus membantu merangsang dan merancakkan semula sektor pelancongan yang sebelum ini terjejas akibat Covid-19," katanya.

Menurutnya, Kedah Tourism juga giat mempromosikan sektor pelancongan domestik menerusi pemasangan papan iklan gambar tempat menarik di semua daerah.

"Kita juga akan menaik taraf dan membaik pulih beberapa tempat pelancongan yang menjadi tumpuan ramai; antaranya Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di Baling, Muzium Padi, lukisan mural di Pekan Melayu serta pencahayaan laluan ke puncak Gunung Baling," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Firdaus berkata, pihaknya juga sedang membina laman sesawang mempromosi tempat pelancongan menarik mengikut segmentasi setiap daerah, dengan kemudahan peta lokasi, penginapan dan senarai aktiviti bagi kemudahan pelancong.

“Kedah Tourism turut mempromosi pakej domestik bersama agensi dan penggiat pelancongan negeri lain seperti Perak, Kuala Lumpur, Johor dan Melaka untuk merancakkan industri ini, selain tumpuan di Langkawi,” katanya.

-end-