X

Kindly register in order to view this article
!

Dadah RM4.8 juta untuk pasaran Sabah, Sarawak dirampas

Razarudin (tiga dari kanan) menunjukkan antara wang tunai yang dirampas dalam serbuan di beberapa buah negeri pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan sindiket dadah yang mensasarkan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi pengedaran sejak awal tahun ini terbongkar selepas polis menahan enam suspek dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4.8 juta kelmarin.

Mereka yang ditahan ialah lima lelaki tempatan serta seorang wanita warga Thailand berusia lingkungan 34 hingga 56 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, lima serbuan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang pada jam 11.40 pagi membabitkan kediaman rumah dan premis bengkel.

Antara dadah yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah.
Antara dadah yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah.

"Siasatan mendapati salah seorang suspek lelaki dan seorang wanita yang ditahan merupakan dalang sindiket itu.

"Wanita terbabit dipercayai isteri kepada salah salah seorang suspek yang juga diberkas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Razarudin berkata, polis merampas 96.39 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah iaitu syabu, ekstasi, ketamin, heroin dan eramin 5 selain menyita pelbagai aset sindiket iaitu enam buah kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire dan Audi (RM620,000), barang kemas (RM39,110), wang tunai (RM264,143) dan jam tangan mewah (RM60,000).

Razarudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.
Razarudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.

Beliau turut mendedahkan sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari Thailand sebelum diseludup ke Sabah dan Sarawak menggunakan khidmat kurier dan diseludup dalam kuantiti yang kecil iaitu 1kg atau 2kg.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui taktik sindiket sama ada kegiatan pengedaran turut dilakukan di negeri di semenanjung," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!